Salam Ukhwah

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.

The Iqra sekadar medan peringatan buat yang terlupa..
Diwujudkan tidak untuk mendabik dada..
Bukan menghebah-hebahkan keadaan semasa..

Sekadar memenuhi tuntutan agama..
Untuk ingat-mengingati kasih-mengasihi sesama manusia..

Siapalah kita kalau bukan hamba-Nya yang hina..
Yang pasti kita ketemui disuatu masa..
Akan dipertanggungjawabkan segala amalan di dunia..

Tuesday, February 26, 2008

Wadah Perjuangan Pemimpin-Pemimpin Agung Islam

Assalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh..

Ana mulakan tulisan kali ini dengan memanjatkan segala puji-pujian hanyalah bagi ALLAH S.W.T Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Rahmat dan sejahtera semoga dilimpahkan buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang semulia-mulia pesuruh-Nya.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahumullah, “Daripada Aishah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda dalam rumahku ini, “ Ya Allah, sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, kemudian ia melakukan kezaliman ke atas mereka, maka kembalikan kezaliman itu ke atas mereka. Sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, dengan menunjukkan kasih sayang kepada mereka, maka kasihilah orang tersebut”.

Dan di dalam sebuah hadith yang lain Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang menjalankan pemerintahan mengenai urusan umat Islam tanpa menghiraukan kemiskinan, keperluan, kefakiran dan hajat mereka, nescaya Allah akan membiarkannya pada hari kiamat tanpa menghiraukan kemiskinannya, keperluannya, hajatnya dan kefakirannya.” Riwayat Abu Daud.

Sesungguhnya ALLAH S.W.T dan Rasulullah S.A.W telah menggariskan sifat-sifat penting yang seharusnya ada pada diri seorang pemimpin. Menurut Islam, kepimpinan atau imamah wajib dibentuk bagi melaksanakan dua tanggungjawab yang besar iaitu untuk memelihara agama dan menguruskan siasah dunia.

Memelihara agama bermaksud menjaga, mengembang, mempertahan dan melaksanakan syariat agama dalam semua bidang hidup sama ada yang mengenai peribadi, keluarga, masyarakat dan negara bahkan dunia seluruhnya.

Sementara menguruskan siasah dunia bererti mengendalikan urusan pentadbiran, pemerintahan dan pembangunan yang melibatkan soal-soal kehidupan, pembangunan material, kemajuan dan peradaban berasaskan kepada nilai-nilai agama dan prinsip-prinsip syariat.

Berikutan dengan urusan pemilihan pemimpin yang semakin hampir ini. Ingin ana sampaikan beberapa kisah keperibadian dan kata-kata mengenai 3 tokoh pemimpin yang agung dalam sejarah pembangunan Islam sesudah kawafatan baginda Rasulullah S.A.W. Semoga kita sama-sama beroleh rahmat dan hidayah dari ALLAH Azza Wa Jalla dalam usaha membuka akal dan minda kita untuk memilih pemimpin.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A

Sungguh kehidupan Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq adalah penuh dengan ibarat, penuh dengan nasihat, penuh dengan ajaran serta kenang-kenangan yang indah mulia. Selama dua tahun pemerintahannya itu baginda telah berjaya menyusun tiang-tiang pokok dan kekuatan Islam. Baginda telah membangunkan kekuatan-kekuatan yang penting bagi memelihara kepercayaan kaum Muslimin dan bagi memelihara keagungan Agama Islam.

Selepas kewafatan baginda Rasulullah S.A.W, setelah lama berbincang Majlis Syura dan kaum Muslimin dengan suara ramai telah memilih Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai pengganti Rasulullah S.A.W. Lalu bangkitlah Saidina Abu Bakar As-Siddiq untuk memberikan ucapannya yang terkenal yang antara lainnya baginda berkata:

"Wahai sekalian ummat! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu padahal aku ini bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Sebab itu jika pemerintahanku baik, maka sokonglah, tetapi jika tiada baik, maka perbaikilah. Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat pada sisiku hingga aku harus menolongnya mendapatkan haknya, sedang orang yang kuat di antara kamu adalah lemah pada sisiku, hingga aku harus mengambil hak orang lain yang berada di sisi nya, untuk dikembalikan kepada yang berhak semula. Patuhilah kepadaku selama aku patuh kepada ALLAH dan RasulNya. Akan tetapi jika aku mendurhakai ALLAH, maka kamu sekelian tidak seharusnya lagi patuh kepadaku.

Aku dipilih untuk memimpin urusan ini padahal aku enggan menerimanya. Demi ALLAH aku ingin benar kalau ada di antaramu orang yang cekap untuk urusan ini. Ketahuilah jika kamu meminta kepadaku agar aku berbuat sebagai yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. sungguh aku tidak dapat memperkenankannya, Rasulullah S.A.W adalah seorang hamba ALLAH yang dapat kurnia wahyu dari Tuhan, kerana itu baginda terpelihara dari kesalahan-kesalahan, sedang aku ini hanyalah manusia biasa yang tidak ada kelebihannya dari seorangpun juga di antara kamu."

Adalah diriwayatkan bahawa pada keesokan harinya iaitu sehari setelah baginda terpilih sebagai Khalifah, Saiyidina Abu Bakan R.A. kelihatan membawa barang perniagaannya ke pasar. Beberapa orang yang melihat itu lalu mendekati baginda, di antaranya Abu Ubaidah Bin Jarrah. Sahabat besar itu mendekati baginda seraya berkata, "Urusan Khalifah itu tidak boleh dicampuri dengan berniaga! Lalu Abu Bakar R.A. bertanya, "Jadi dengan apakah aku hidup, dan bagaimana aku membelanjai rumah tanggaku? Demikian sedihnya nasib yang menimpa Saidina Abu Bakar R.A. walaupun kedudukannya sebagai Kepala Negara namun belum ada lagi ketetapan bagi seseorang kepala pemerintah Islam memperolehi gaji dari harta kerajaan.

Keadaan ini mendapat perhatian dari para sahabat lalu mereka menentukan tunjangan secukupnya buat baginda dan buat keluarga baginda yang diambil dari Baitul Mal. Kemudian itu barulah Khalifah Abu Bakar meninggalkan usaha perniagaannya kerana hendak memusatkan seluruh tenaganya untuk mengembangkan agama Islam dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Khalifah. Semasa bertugas sebagai Khalifah ummat Islam baginda hanya menerima peruntukan sebanyak enam ribu dirham sahaja setahun iaitu kira-kira lebih kurang 1,200 ringgit sahaja setahun. Peruntukan itu tidak dibelanjakannya untuk keperluan dirinya malahan sebelum wafatnya baginda telah memenitahkan supaya pendapatannya itu diserahkan kembali kepada Baitul Mal.

Baginda telah mengakhiri riwayat pemerintahan yang dipimpinnya dengan menundukkan sebahagian daripada negeri Syam dan sebahagian daripada negeri Iraq, lalu pulang ke rahmatullah dengan dada yang lapang, ketika umur baginda menginjak 63 tahun. Baginda dikebumikan di samping makam Rasulullah S.A.W. di Masjid Madinah. Semoga riwayat serta perjuangan baginda menjadi contoh ibadat yang murni bagi sekelian kaum Muslimin.


Saidina Umar Al-Khattab R.A

Saidina Umar ketika menyampaikan ucapan dasarnya sempena pemilihannya menyatakan: "Wahai manusia, sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku." Kemudian seorang makmum berkata, "Demi ALLAH S.W.T jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkan dengan mata pedang kami!" Umar menjawab: "Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH S.W.T yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, terdapat mereka yang akan memperbetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedang."

Ubaidullah bin Umar menceritakan bahawa suatu hari para sahabat melihat Saidina Umar R.A memikul tempat air di bahunya. Lalu mereka bertanya : "Wahai Amirul Mukminin ! Mengapa tuan sendiri yang memikul air ini ?" Jawab Umar al-Khattab : "Saya merasakan bahawa diri saya telah takbur, lalu saya mengangkat air ini untuk menundukkannya"

Kata Aslam beberapa orang berbicara dengan Abdul Rahman bin Auf. Kata mereka : "Umar al-Khattab telah menimbulkan rasa takut kami sehingga mata kami tidak berani bertentangan mata dengannya". Hal ini diadukan oleh Abdul Rahman bin Auf. Lalu Umar al-Khattab berkata : "Benarkah mereka berkata demikian ?" "Demi ALLAH , saya telah cuba melunakkannya, sehingga lantaran lunak saya itu saya takut dimarahi ALLAH. Saya cuba pula dengan sikap keras sehingga saya takut ALLAH marah kepada saya. Bagaimanakah lagi ? Bagaimana nasib saya yang berbeza dengan mereka ?"

Diriwayatkan oleh Umar bin Murrah bahawa seorang lelaki bertemu dengan Umar al-Khattab dan berkata : "Bersikap lunaklah kepada kami, sebab kami amat gentar melihatmu !" Umar menjawab : "Adakah saya berbuat sesuatu yang zalim ? " Jawab lelaki itu : "Tidak" Kata Umar lagi : "Kalau begitu, biarlah ALLAH menambah rasa takut dalam hatimu terhadapku"

Menurut Barrak bin Makrur : "Pada suatu hari Umar al-Khattab naik ke mimbar untuk memberi tazkirah, tiba-tiba dia merasa sakit. Menurut para jamaah, ubatnya adalah madu lebah dan di Baitulmal banyak tersimpan madu lebah" Kata beliau : "Kalau tuan-tuan izinkan, saya akan gunakannya, tetapi kalau tidak diizinkan haram ke atas saya mengambilnya"

Pada suatu malam sedang Saidina Umar meronda di sekeliling kota dan kampung untuk melihat hal rakyatnya, dia terdengar tangisan kanak-kanak. Saidina Umar menghampiri pondok buruk tempat tinggal kanak-kanak itu.

Dia mendengar ibunya menjerang sesuatu. Kanak-kanak tadi senyap seketika apabila melihat ibunya sedang memasak. Namun masakannya tidak siap-siap sehinggalah anaknya tertidur dalam kelaparan. Melihat keadaan yang menyayat hati itu, Saidina Umar memberi salam dan meminta izin untuk masuk. Sebenarnya wanita itu tidak mengetahui, bahawa tetamu yang datang itu adalah seorang Khalifah. Saidina Umar bertanya tentang hal kehidupan wanita itu. Wanita itu mengadu yang dia dan anaknya sudah berhari-hari tidak makan. Apabila anaknya menangis hendakkan makanan, dia pura-pura memasak dengan memasukkan beberapa ketul batu ke dalam periuk. Keadaan tersebut membuatkan anaknya diam sebentar kerana menyangka ibunya memasak sesuatu.

Wanita itu mengadu dan mengutuk Saidina Umar kerana tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Mendengar kutukan wanita itu, Saidina Umar terdiam sejenak. Sebentar kemudian, dia memohon diri meninggalkan keluarga wanita itu. Dalam kegelapan malam, Saidina Umar terus menuju ke Baitumal lalu mengambil sendiri beberapa karung gandum untuk dihantar ke rumah wanita itu.

Sebaik sampai di rumah wanita itu, Saidina Umar memberi salam dan masuk ke rumahnya buat kali kedua. Dia mengambil gandum dari karung yang di bawanya, lalu terus memasakkan untuk wanita itu dan anaknya. Wanita itu masih tidak sedar bahawa orang yang datang membawa gandum dan memasak itu ialah Khalifah sendiri. Setelah siap, Saidina Umar sendiri menghidangkan makanan untuk wanita itu dan anaknya.

Melihat mereka gembira menghadap makanan, Saidina Umar berasa amat senang hati dan beredar dari situ. "kalaulah Saidina Umar buat begini, alangkah baiknya..."Kata wanita itu tanpa menyedari bahawa orang yang berada di hadapannya ialah Saidina Umar sendiri. Lihatlah betapa zuhudnya Saidina Umar, pangkat dan jawatan yang dipegangnya tidak sedikit pun membuatkan baginda sombong, angkuh atau mengharapkan layanan istimewa bahkan Saidina Umar sangat terbuka terhadap kritikan.


Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz

Sebelum menjawat jawatan Khalifah, pada suatu ketika Umar Ibnu Abdul Aziz dibawa oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik untuk diperlihatkan kehebatan pasukan tentera Bani Umayyah yang menguasai 1/4 dunia. Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik kemudian berkata pada Umar Ibnu Abdul Aziz, "Apa yang sedang kau lihat wahai Ibnu Abdul Aziz? Tidakkah kau kagum dengan kehebatan kerajaan kita?" Lalu Umar Ibnu Abdul Aziz menjawab,"Aku sedang melihat dunia itu sedang memakan antara satu sama lain dan engkau adalah orang yang bertanggungjawab dan akan dipersoalkan ALLAH mengenainya. Bahkan yang paling mengkagumkan aku adalah mereka yang mengenali ALLAH kemudian menderhakai-Nya, mengenali syaitan kemudian mengikutinya dan mengenali dunia kemudian dia condong padanya." Itulah jawapan seorang manusia yang hebat tawakalnya kepada ALLAH.

Pada ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz dilantik sebagai Khalifah menggantikan Sulaiman bin Abdul Malik dalam keadaan yang beliau sendiri tidak suka akan pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang.

Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada ALLAH dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. kemudian beliau berkata,"Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa bermesyuarat denganku dan tanpa aku memintanya serta tidak pernah bermesyuarat bersama kamu semua. Sesungguhnya aku mencabut baiah janji setia yang ada ditengkuk-tengkuk kamu yang telah kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu suka”. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: “Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan”.

Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, jangan terlalu mencintai kekayaan dunia dan mendorong mereka supaya lebih mencintai akhirat. Kemudian beliau berkata pula kepada mereka: "Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa yang taat kepada ALLAH, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada ALLAH, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada ALLAH di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada ALLAH, janganlah sesiapa mentaati aku".

Setelah itu beliau turun dari mimbar dan pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa tersebut anak beliau berumur 17, kemudian Abdul Malik berkata: "Apakah yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?"

Lalu Umar menjawab, "Wahai Anakku! Ayahmu terlalu letih menguruskan jenazah bapa saudaramu dan ayahmu tidak pernah merasa suatu keadaan yang tubuhnya begitu penat lebih dari waktu ini oleh itu ayahmu ingin berehat untuk menghilangkan kepenatan ini."

Selepas itu Abdul Malik berkata, "Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul Mukminin?" Lantas Umar menjawab, "Anakku! Nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang bersama-sama dengan orang ramai dan InsyaALLAH aku akan mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya."

Seterusnya Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup sehingga ke waktu Zuhur, wahai Amirul Mukminin?" Mendengar kata-kata tersebut Umar terus bangkit lalu beliau mencium kedua belah mata dan memeluk anaknya, kemudian beliau berkata: "Segala puji bagi ALLAH yang telah melahirkan seorang anak dari sulbi aku, orang yang boleh membantu aku di dalam perkara agama aku."

Maka pada hari kedua beliau bertugas selaku khalifah, beliau memberikan khutbah yang antara lainnya menyebut, "Wahai sekalian umat manusia, tidak ada kitab selepas Al-Quran dan tidak ada nabi selepas Muhammad S.A.W. Sesungguhnya aku bukan penentu hukum tetapi aku hanyalah pelaksana hukum ALLAH. Aku bukan ahli bid'ah, aku hanya seorang yang mengikut sunnah. Aku bukan orang yang paling baik dikalangan kamu bahkan akulah orang yang paling berat tanggungannya dikalangan kamu. Aku mengucapkan ucapan ku ini sedangkan aku tahu bahawa aku orang yang paling banyak dosa disisi ALLAH." Terduduk Khalifah Umar dan teresak-esak beliau menangis disitu yang kemudian disusuli dengan kata-kata, "Alangkah besarnya ujian ALLAH kepadaku."

Pada suatu hari, isterinya melihat khalifah sedang menangis dirumahnya. Lalu bertanyalah si isteri kepadanya, "Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?" Khalifah Umar menjawab, "Wahai isteriku, aku telah diuji ALLAH dengan jawatan ini dan aku sedang teringat orang-orang yang miskin dan ibu-ibu yang kehilangan suami yang anak-anaknya ramai tetapi rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, aku teringat para fuqara kaum muslimin, aku tahu bahawa mereka kesemuanya ini akan mendakwaku di hari kiamat kelak dan aku bimbang aku tidak akan dapat menjawab hujah-hujah mereka sebagai seorang khalifah kerana aku tahu yang menjadi pembela dipihak mereka adalah Rasulullah S.A.W." Mendengar kata-katanya itu maka isterinya juga menangis.

Dalam satu peristiwa Khalifah Umar bin Abdul Aziz, sewaktu sedang bekerja di rumahnya dia didatangi puteranya untuk membincangkan sesuatu hal yang berhubung dengan urusan keluarga. Khalifah Umar lantas memadamkan lampu yang terletak di meja yang menerangi bilik kerjanya itu.Puteranya hairan melihat sikap ayahnya itu lalu bertanya: "Kenapa ayah padamkan lampu itu?". Jawab Umar: “Lampu yang digunakan adalah untuk bekerja dan ini kepunyaan kerajaan. Minyak yang digunakan itu dibeli dengan menggunakan wang kerajaan, sedang perkara yang hendak anakanda perbincangkan dengan ayahanda adalah perkara keluarga."Lantas baginda meminta pembantunya membawa lampu dari bilik dalam. "Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyak pun kita beli dengan wang kita sendiri."

Diriwayatkan juga bahawa khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz juga tidak mengambil sebarang pemberian istimewa terhadap seorang khalifah seperti kenderaan rasmi, pasukan pengawal dan banyak lagi. Selama 2 tahun 5 bulan beliau memerintah, kerajaan Islam Bani Umayyah berubah secara keseluruhan sehinggakan tidak ada seorang rakyat pun layak menerima zakat kerana kemewahan hidup mereka. Demikianlah besarnya sifat amanah dari seorang pemimpin berkaliber yang berjiwa besar.


Begitulah kisah keagungan sifat-sifat peribadi pemimpin-pemimpian kerajaan Islam dahulu. Terlalu banyak untuk disebutkan seperti Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali karamallahuwajhah, Khalifah Harun Al-Rasyid, Sultan Muhammad Al-Fatih yang membuka kota Constantinople dan ramai lagi. Sesungguhnya dunia Islam begitu dahagakan kepimpinan seperti mereka. Sesungguhnya hakikat kejayaan adalah dalam keikhlasan mereka berjuang semata-mata demi untuk menegakkan agama dan syariat ALLAH di muka bumi ini serta menjadikan diri Rasulullah S.A.W sebagai contoh tauladan dan ikutan mereka. Seperti yang disebutkanALLAH di dalam Al-Quran, "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya." (Al-Ahzab 33: 21)

Maka perhatikanlah akhlak dan objektif perjuangan bakal pemimpin yang akan dipilih nanti. Adakah mereka juga menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai ikutan dan Islam itu sebagai puncak perjuangan. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi daripada Saidina Ali Karamallahuwajhah yg bermaksud:

Apabila umat telah melakukan 15 perkara, maka bala’ pasti akan turun kepada mereka. Lalu ditanya tentang apakah itu wahai Rasulullah? Jawab baginda:

1.Apabila hasil kekayaan negara hanya beredar dikalangan golongan tertentu sahaja
2.Apabila amanah dijadikan satu sumber dalam mengaut keuntungan
3.Zakat dijadikan hutang
4.Suami menurut sahaja kehendak isteri
5.Anak derhaka terhadap ibunya
6.Anak terlalu mementingkan kawan
7.Anak juga menjauhkan diri daripada bapanya
8.Pertengkaran berlaku di dalam masjid
9.Yang menjadi pemimpin dikalangan mereka ialah orang yang paling hina diantara mereka
10.Seseorang itu dipandang tinggi kerana ditakuti kejahatannya
11.Arak sudah diminum secara terang-terangan di merata tempat
12.Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki
13.Para isteri yang tidak bermoral disanjung tinggi
14.Muzik banyak dimainkan
15.Generasi akhir umat ini melaknat generasi pertama (para sahabat).

Maka pada ketika itu, mereka bakal ditimpa oleh angin merah atau gempa bumi atau diubah keadaan mereka menjadi haiwan.

Tolaklah perjuangan yang menghalalkan 15 perkara diatas dan mereka mementingkan duniawi semata-mata, buangkanlah fahaman assabiyah yang menjumutkan pemikiran kita dan hancurkanlah pemerintahan yang mendahulukan riba dan rasuah serta mereka yang mengingkari amanah. Yakinlah bahawa kita pasti akan dihitung diakhirat kelak di atas setiap perlakuan kita didunia ini.

P/s : Yang kabur itu makin jelas dan yang jelas itu makin nyata. Semoga panji-panji Islam akan berkibar dibumi Melayu ini. ALLAHU AKBAR!!!

Sumber rujukan artikel http://tayibah.com, kuliah S.S Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan buku Himpunan Kisah-kisah Teladan.

1 comment:

Rita Nusa Indah said...

wah selamat yah! maaf, liat dari usia dek Iqra masih terbilang sangat mudah tetapi kesadaran religiusnya mulai muncul, semoga hidayah ini tetap terjaga....
Teruskan uraian-uraian yang berisikan Islami... Semoga ilmunya terus bertambah amien.......
nama: Rita Subrata
B.spot: luxury-in-eaven.bogspot.co
e-mail adriati@sorowako.internux.net.id