Salam Ukhwah

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.

The Iqra sekadar medan peringatan buat yang terlupa..
Diwujudkan tidak untuk mendabik dada..
Bukan menghebah-hebahkan keadaan semasa..

Sekadar memenuhi tuntutan agama..
Untuk ingat-mengingati kasih-mengasihi sesama manusia..

Siapalah kita kalau bukan hamba-Nya yang hina..
Yang pasti kita ketemui disuatu masa..
Akan dipertanggungjawabkan segala amalan di dunia..

Wednesday, March 12, 2008

DEB Dimana Silapnya?

DEB - Jangan salahkan kaum Cina, salahnya Melayu Umno
Mohd Rashidi Hassan

Wed | Mar 12, 08 | 03:44:30 PM

Jangan lupa bahawa Umno yang banyak mengkritik Parti Gerakan dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kerana menjalankan dasar yang mendiskriminasikan orang-orang Melayu.

Akhbar Utusan Malaysia adalah antara media propaganda Barisan Nasional yang menyiarkan kenyataan beberapa Ketua Umno Bahagian di Pulau Pinang, yang secara lantang mengkritik Tsu Koon sehingga memeningkan kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Hakikatnya semakin jelas kelihatan sejak berpuluh tahun kerajaan negeri diterajui Gerakan dari kelompok kaum Cina, Melayu Pulau Pinang semakin terhakis, mereka hanya menguasai dan memiliki aset di Seberang Prai, manakala di bahagian pulau, hanya tinggal di sekitar Balik Pulau.

Lain-lain tempat, Jelutong, Bayan Lepas, Georgetown, Melayu sudah semakin terpinggir dan semakin pupus. Hanya yang ada saki baki Melayu tinggal di kawasan flat. Rumah kampung sudah tiada, pangsapuri mewah pun tiada, kawasan elit pun Melayu hampir tiada. Jika ada pun Melayu dari kalangan Umno.

Penulis tidak pernah berhasrat untuk membangkitkan soal kaum. Siapa yang menjadi Ketua Menteri, siapa yang memerintah atau sebagainya.

Penulis sekadar mengharapkan rakyat berfikir, mengapa media dan Umno begitu jahat memfitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri, Lim Guan Eng dari DAP?

Apakah paparan bahawa kononnya kaum Cina dari DAP akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Pinang boleh diterjemahkan sebagai semasa Cina Gerakan, DEB terlaksana dengan baik?

Jahatkah Cina DAP terlalu baikkah Cina Gerakan atau MCA pada pandangan Utusan? Media tidak harus cuba mengelirukan rakyat, kerana, mereka harus tanya kepada pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang, apakah mereka begitu puashati dengan Gerakan selama ini?

Jangan cetuskan api perkauman

Paparan seburuk ini, dibuat dengan nada yang begitu jahat, boleh mencetuskan ketidakstabilan hubungan kaum dalam negara. Utusan jelas 'bermain dengan api', meniupkan api perkauman yang boleh menjejaskan ketidakstabilan politik dalam negara.

Apa yang disebutkan Lim Guan Eng sebagai DEB menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisyen sebenarnya memang betul.

Tan Sri Khalid Ibrahim ketika ditemuramah penulis dua tahun lepas (sebelum menganggotai KeADILan), tidak mempertikaikan DEB, yang dipertikaikan soalan perlaksanaannya. Soal delivery dan ketelusan yang dibangkitkan.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menegaskan bahawa Islam tidak menerima sebarang tindakan yang boleh disifatkan sebagai diskriminasi kepada mana-mana kaum.

Namun, PAS menerima beberapa keutamaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan terhadap orang-orang Melayu. Apa yang PAS pertikaikan ialah soal amalan korupsi, kronisme dan nepotisme yang dilaksanakan oleh BN.

Hakikatnya PAS mempertikaikan DEB kerana ia digunakan sebagai alat politik untuk kepentingan segelintir puak yang dikenali sebagai Umnoputra bukan untuk bumiputra.

Di mana ukuran Umno/BN berjuang untuk Melayu?

Siapa yang merobohkan surau kegunaan untuk orang Islam, jika tidak dengan arahan Menteri Besar berketurunan Melayu dari Umno?

Siapa yang meroboh setinggan-setinggan Melayu seperti di Kampung Berembang atas alasan tujuan untuk pembangunan?

Siapa yang 'mengalibabakan' projek kerajaan yang diterima atas nama kontraktor Melayu Umno dan kemudiannya di sub-kon kan kepada kontraktor Cina?

Siapa yang menghapuskan pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, untuk digantikan dengan bahasa Inggeris?

Siapa yang menghapuskan bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat, yang rata-ratanya diwujudkan untuk pendidikan anak-anak Melayu/ Islam?

Siapa yang menindas dan menafikan hak ekonomi serta geran perkapita kepada kerajaan pimpinan orang Melayu di Kelantan dan Terengganu sewaktu PAS memerintah?

Sebenarnya bukan PAS, KeADILan atau DAP yang menolak DEB, hakikatnya pemimpin Umno sendiri yang mengkhianati DEB!

Justeru, pemimpin Umno tidak harus mendabik dada bahawa mereka adalah pejuang Melayu tulen, walhal sebenarnya merekalah yang menindas orang-orang Melayu.

Jika Umno dan BN melaksanakan dasar-dasar negara dengan betul, sudah tentu orang-orang Melayu tidak akan menolak mereka.

Pilihan Raya Umum ke 12 menunjukkan orang-orang Melayu sudah menolak Umno/BN. Jangan salahkan rakyat, sikap pemimpin Umno sendiri yang menyebabkan penolakan besar-besaran berlaku.

Fikir dan renungkan. Rombak Umno, suruh Abdullah berundur, jika tidak masa depan Umno akan gelap dan tidak mustahil Umno akan tersimpan dalam muzium, menjadi bahan sejarah.

Artikel dr http://www.harakahdaily.net

P/s : The Iqra tidak mengatakan setiap apa yg dilafazkan dr mulut atau tulisan sesorang anak Adam itu adalah semata-mata benar dan boleh diterima semuanya.. Justeru itu ana mengajak rakan-rakan utk sama-sama berfikir terhadap artikel di atas dan beberapa perkara:
  1. Di mana silap?
  2. Kenapa ini semua berlaku?
  3. Apakah puncanya?
  4. Adakah selama ini kita begitu prihatin terdahap semua isu-isu seperti ini?
  5. Inikah yang dikatakan orang tua-tua dahulu sudah terhantuk baru nak terngadah?
  6. Apakah pegangan perjuangan kita? Dengan kata lain apa yg kita perjuangkan.. Asabiyyah atau sesuatu yang berdasar Islam?
  7. Jika Islam pilihan kita maka apakah saranan Islam dalam hal-hal sebegini?
Melatah tidak akan dapat membantu apa-apa.. Berfikirlah dan carilah sebab-sebab mengapa kita berada di mana kita sekarang.. salah kita atau salah orang lain? Jika kita menjumpai kesilapan itu bukankah ia masih boleh diperbetulkan.. Selalu diingatkan menilai biarlah dengan ilmu bukan dengan sentimen dan hasutan.. Mungkin pembaca lebih bijak menilai dari ana di sini.. Sebagai peringatan.. Jangan bicara soal perjuangan jika diri sendiri masih mengejar dunia.. Sama-samalah kita menilai diri kita sendiri sebelum menuding jari pada yang lain..

Sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda, ertinya:
Apabila datang dua orang yang bertengkar (yang inginkan perbicaraan) di hadapanmu maka janganlah kamu (hakim) memutuskan keputusan bagi yang pertama sehinggalah kamu mendengar penjelasan dari pihak lain sebagaimana yang engkau dengari dari pihak yang pertama, kerana ia lebih tepat dan baik untuk memandumu dalam menetapkan hukum (atau keputusan)" ( Riwayat Abu Daud, no 3582, 3/301 ; Al-Hakim, Shohih ; Al-Ahkam As-Sultaniyah, 1/75 : Al-Ahadith Al-Mukhtarah, 2/388 ; hadith hasan menurt Imam Ibn Hajar ; Fath Al-Bari, 13/171 )

Barangsiapa yang Allah berikan hidayah kepadanya
maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya
dan barang siapa yang Allah sesatkan maka tidak ada sesiapa
pun yang dapat memberikan hidayah kepadanya..

Wallahualam..


Tuesday, March 11, 2008

Panik.. Melatah.. Menilai Tetapi Bukan Pada Ilmu Hanya Dengan Hasutan Sentimen & Syaitan

March 12th, 2008 | by Abu Saif | 906 Views | Print This Post Print This Post | Email this post Email this post |

media.jpg

Sebelum pilihanraya berlangsung, kita menolak media perdana.

Kita muak dengan hidangan melampau RTM dan Media Prima yang amat berlebih-lebihan dalam mempromosikan Barisan Nasional. Bukan sahaja menyalahi etika kewartawanan, malah tidak cerdik dalam konteks komunikasi. Malah terlebih utamanya melanggar agama dengan berita-berita yang diputar belitkan sesuka hati.

“Hairan saya. Langsung tidak kedengaran suara selain Barisan Nasional di dalam televisyen dan radio”, keluh kawan saya dari Nigeria.

Tiada negara seperti Malaysia. Kecuali negara-negara yang pemerintahnya digelar regim oleh bahasa media sendiri.

Tetapi mengapa selepas pilihanraya selesai, kita jadi peduli dan resah dengan permainan media perdana?

Setelah kejayaan Barisan Rakyat dicapai dengan peranan media alternatif, mengapa kejayaan itu mahu dimusnahkan dengan permainan media perdana?

PAS mahu melaksanakan hudud di Kedah? Ia propaganda Bernama.

Satu demi satu Tadika KEMAS dan Tadika Perpaduan terbakar. Ia propaganda Media Prima terutamanya TV3.

PAS Kedah mahu menutup Tadika KEMAS. Itu permainan Berita Harian. Juga di bawah Media Prima.

Kini, proses memilih Menteri Besar untuk Perak Darul Ridzuan berada di bawah suluhan lampu semua. Pelbagai keresahan cuba ditimbulkan hingga isu-isu perkauman yang sensitif ditiupkan secara halus untuk menambahkan resah orang ramai.

Lampu suluh itu tidak pula beriya-iya mahu mengenengahkan masalah Perlis yang juga berkrisis sesama Barisan Nasional dalam meluluskan Shahidan Kasim sebagai Menteri Besar mereka.

Mengapa kita harus peduli kepada permainan mereka? Biar pun Angkasapuri, bangunan Bernama dan Media Prima kini duduk di bawah kawasan Barisan Rakyat, ia masih media yang sama. Bercakap dengan nada yang sama. Malah bahasa angkuh golongan kalah, adalah jauh lebih merbahaya berbanding dengan bahasa angkuh golongan yang berkuasa.

Media alternatif harus terus berperanan, kerana kita berdepan dengan peperangan maklumat. Peperangan antara Barisan Rakyat dengan golongan al-Mala’.

SIAPAKAH AL-MALA’ ITU

Al-Quran mengistilahkan kaum yang berkuasa dengan nama al-Mala’!

Al-Mala’ itu adalah gelaran al-Quran yang terpakai kepada golongan raja, ahli politik, ahli perniagaan, artis, atau sesiapa sahaja yang berkuasa di dalam mana-mana masyarakat pada bila-bila masa.

Nuh berdepan dengan al-Mala’.

Hud berdepan dengan al-Mala’.

Perkataan al-Mala’ itu terbit dari kalimah ma-la-aa yang memberi maksud menuang penuh atau mengisi. Seperti perbuatan mengisi gelas dengan air.

Golongan berpengaruh digelar al-Mala’ kerana mereka berkongsi kelakuan yang sama. Dengan kuasa dan pengaruh yang ada, mereka mengisi kepala, mata, telinga dan seluruh pancaindera rakyat jelata dengan propaganda.

Saya mempersoalkan jati diri wartawan media perdana kerana sanggup mempertaruhkan kepentingan rakyat, semata-mata mahu memuaskan agenda propaganda golongan al-Mala’ ini. Mereka seakan tidak peduli kepada harga kesan kejahatan mulut mereka kepada negara.

“Seorang Muslim yang sebenar itu, adalah seorang yang kaum Muslimin lain terselamat dari kejahatan lisan dan tangannya” [Hadith riwayat Muslim]

72919017.jpg

JANGAN BERHENTI MENULIS

Para bloggers harus ingat bahawa peranan mereka lebih kritikal selepas berakhirnya pilihanraya. Mereka perlu berperanan merasionalkan fikiran rakyat dengan analisa yang mampu menjernihkan kefahaman rakyat di hadapan propaganda golongan al-Mala’ menerusi media perdana.

Jangan berhenti menulis dan jangan tumpulkan analisa dengan berasa selesa terhadap kemenangan yang berada di depan mata. Ia hanya permulaan kepada perjuangan yang lebih mencabar. Ini masa bekerja.

PENYEBARAN MAKLUMAT SECARA EFEKTIF

Bloggers pula memerlukan maklumat yang segar, telus, pantas dan efektif bagi membolehkan mereka membuat analisa.

Oleh yang demikian, PAS, PKR dan DAP mestilah efektif dalam melaporkan perkembangan terkini aktiviti mereka. Kita tidak memerlukan terlalu banyak cerita tentang drama-drama Barisan Nasional menyesuaikan diri mereka dengan kekalahan itu. Tetapi apa yang kita perlukan adalah maklumat perkembangan semasa kerajaan-kerajaan baru yang dibentuk di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kerajaan Alternatif juga harus pantas memberikan reaksi kepada isu-isu yang berlegar. Jangan biarkan khabar angin bertebaran terlalu lama. Perkara dusta yang diulang berkali-kali boleh akhirnya menjadi bahan percaya.

Dalam ertikata yang lain, setiap Parti harus mempunyai jentera media yang bekerja sepenuh masa untuk menyiarkan berita terkini berhubung dengan perkembangan parti-parti komponen Barisan Rakyat kerana manusia hari ini, ‘agama’ mereka ditentukan oleh media.

Jangan berhenti ngeblog!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Friday, February 29, 2008

Di Mana Hendak Diperoleh Teman Sejati?

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

ANTARA kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan. Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperoleh di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar.

Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda. Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.

Memiliki persahabatan yang jujur dalam erti kata sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar diperoleh secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi S.A.W. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana ALLAH S.W.T semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman. Sabda baginda: Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana ALLAH. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya dapat mengecapi kenikmatan dan kekhusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, Baginda S.A.W. menyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana ALLAH S.W.T, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham. Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana ALLAH semata?

Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredaan ALLAH S.W.T. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada ALLAH, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada ALLAH. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat berasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana ALLAH. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.

Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan atau harta. ALLAH S.W.T menyebut dalam al-Quran: (maksudnya) Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatupadukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi ALLAH telah menyatupadukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana (surah al-Anfal: 63). Ia hanya wujud dalam alam persahabatan yang dibina atas nama iman dan Islam.

Maka kita akan
lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan ajaiban. Mereka hapuskan dalam diari hidup perkataan khianat, kebencian dan permusuhan dari belakang, lalu digantikan dengan "aku kasihkan engkau kerana ALLAH S.W.T" Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah. Sama ada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan bagi - Nya, iaitu ALLAH S.W.T. Lihatlah sahabah Nabi S.A.W. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraisy yang menentang Nabi S.A.W. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan - ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya: "Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama ALLAH, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu." Jawab Zaid: "Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku." Kata Abu Sufyan: "Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad." (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah). Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran ALLAH. Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka.

Persahabatan kerana ALLAH S.W.T, memberi tanpa minta diganti, menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan ALLAH S.W.T jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah ALLAH dan Rasul-Nya. Alangkah indahnya suasana ini.

Justeru itu
ALLAH S.W.T memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih sayang antara mereka dalam Al-Quran: (maksudnya) Bagi golongan fakir yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada ALLAH dan keredaan-Nya. Mereka menolong (agama) ALLAH dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka mencintai orang berhijrah kepada mereka. Mereka tiada menaruh sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa- apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. Adapun orang-orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah
keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang" (surah al-Hasyar 8-10).

Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan
berasa manisnya perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat. Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah keredaan ALLAH S.W.T. Ia tidak dicapai dengan tumpas-menumpas sesama pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredaan itu dicapai dengan sering tolong-menolong kerana ALLAH S.W.T. Jika itu tidak ada, perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan.

Dalam hadis Nabi S.A.W bersabda: Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba ALLAH adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada hari kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi ALLAH. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?" Jawab Nabi: "Mereka itu golongan yang cinta-mencintai dengan roh ALLAH, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi ALLAH, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita. " Lalu Baginda membaca ayat Al-Quran: (maksudnya) Ketahuilah sesungguhnya wali-wali ALLAH tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita (hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Inilah
golongan yang dilindungi ALLAH S.W.T pada hari kiamat. Di dunia mereka mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat mereka dilindungi ALLAH S.W.T. Nilai persahabatan bukan pada wang atau peluang yang diberi. Atau kedudukan dan kerusi yang disogokkan. Semua itu tiada erti, jika 'ada udang di sebalik mi'. Sesungguhnya senyuman ikhlas seorang sahabat sejati, lebih bererti dari dunia dan segala isinya, sehingga Nabi S.A.W menyebut: Senyumanmu buat wajah saudaramu itu adalah sedekah (riwayat al- Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Cerita yang kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Mendengarnya sahaja amat memeritkan, apatah lagi jiwa yang mengalaminya. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina di atas kepentingan diri masing-masing.
Ditikam oleh musuh, tidak seperit pedihnya seperti ditikam oleh sahabat yang rapat. Dirompak oleh perompak tidak sekecewa ditipu oleh rakan yang dipercaya. Dijatuh oleh lawan tidak sedahsyat direbahkan oleh teman seperjuangan. Namun itu realiti dalam maya pada ini bagi hubungan sesama insan yang tidak dibina atas nama Tuhan. Jika ada pihak yang jujur dalam persahabatan, tetapi pengkhianatan berlaku bererti sama ada dia silap memilih teman, atau prinsip perjuangan. Maka dalam memilih sahabat, lihatlah hubungannya dengan Tuhan dan atas apa kita membina persahabatan dengannya.

Saya rasa dalam dunia perniagaan dan politik, persahabatan sejati amat sukar dicari. Bukan perniagaan atau politik itu kotor; kedua-duanya termasuk dalam ajaran Islam. Namun kedua bidang itu apabila tidak berpandukan ajaran ALLAH dan Rasul-Nya maka akan menjadi sangat rakus, biadab, penuh kepura-puraan, tidak berprinsip, tidak menghargai rakan dan taulan, bicara dan bahasanya penuh kemunafikan. Kepentingan diri masing-masing kadangkala bagai Tuhan yang disembah. Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri, apa yang dia tidak akan lakukan jika perintah oleh Tuhan yang sebenar pun. Banyak perintah agama dia kata tidak mampu, namun jika ada kepentingan politik atau urus niaga lebih daripada itu dia sanggup lakukan. Firman ALLAH dalam surah al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya): Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya Tuhan (yang dipatuhinya) , dan dia pula disesatkan oleh ALLAH kerana pengetahuan- Nya (tentang kekufuran mereka), dan ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah ALLAH (menjadikannya berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak mengingati?.

Betapa ramai orang politik yang dikelilingi para pengikutnya, lalu
mereka hilang apabila kuasa tiada lagi. Pada hari dia berkuasa; semuanya menjerit dan memuja, seakan sanggup hidup dan mati bersama. Namun apabila dia tidak mampu lagi memberi harta, pangkat dan kedudukan, melintas pun belum tentu bersalaman. Telah banyak bukti hidup dan mati yang tidak dapat dihitung lagi. Bahkan ada yang sehingga mati tidak dikunjungi. Namun jika anda berharta, sehingga ke
pusara ada yang masih tunjuk muka. Bukan kerana kenang jasa, tapi kenang apa yang boleh dipusaka.

Tanpa iman, tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Belum tentu ianya ikhlas dari hati sanubari. Mungkin diri anda atau perkara yang sama jika anda lakukan pada hari anda tiada kuasa atau harta, orang sama akan mencebik dan menghina anda. Tetapi dek penangan kuasa dan harta; rupa anda yang 'biasa-biasa' dikatakan lawa, pidato anda yang tidak sedap dikatakan hebat, pendapat anda yang kolot dikatakan maju, idea yang lapuk dikatakan bernas, pandangan yang lemah dikatakan berhikmah, penampilan yang tidak bermaya dikatakan bercahaya. Semuanya kerana ingin mengampu kuasa dan harta. Jika anda hidup dalam iklim sedemikian, percayalah persahabatan dan pengikut yang mendakwa setia semuanya bohong belaka. Anda hidup dalam alam khayalan seperti berkhayalnya seorang mabuk yang melihat wanita tua bagaikan gadis yang cantik menawan.

Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Carilah prinsip perjuangan yang ALLAH reda, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana ALLAH. Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan. Lebih mendukacitakan ALLAH S.W.T berfirman: (maksudnya) Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa (surah al-Zukhruf: 67). Ya, seperti di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia. Oh! Di mana hendak dicari teman yang sejati? Ya! Carilah perjuangan yang berprinsip dan diredai ALLAH, di dataran itulah kalian akan temui teman sejati.

- - DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
http://drmaza. com

P/s : Hakikat kesetiaan, keikhlasan dan ketulusan dalam persahabatan dan perjuangan sememangnya hanya akan ditemui apabila kita sama-sama mencintai saudara-saudara kita demi mengharapkan keredaan
ALLAH... Semoga dalam perjuangan ini kita menemui titik persamaan dan berpegang teguh kepada tali ALLAH...

Wednesday, February 27, 2008

INI ADALAH PETIKAN DARI WASIAT SAIDINA UMAR AL-KHATTAB KEPADA KETUA TENTERANYA IAITU SAAD BIN ABI WAQAS KETIKA BELIAU MENGUTUSKANYA UNTUK PEMBUKAAN PARSI

Sesungguhnya aku memerintahkan kepada kamu wahai Saad … ! Dan juga mereka yang bersama-sama kamu supaya bertaqwa kepada ALLAH S.W.T dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya bertaqwa kepada ALLAH S.W.T adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sekuat-kuat tipu daya dalam peperangan. Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama kamu supaya lebih menjauhi dari maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam adalah lebih aku takuti dari musuh-musuh Islam.

Sesungguhnya orang-orang Islam telah mendapat pertolongan dari ALLAH S.W.T disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh, jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada bagi orang-orang Islam akan kekuatan. Jumlah bilangan tentera kita jika mahu dibandingkan dengan pihak musuh adalah terlalu kecil. Begitu jugalah dengan persiapan serta kelengkapan pertahanan kita jika hendak dibandingkan dengan pihak musuh, tidaklah kita sekuat mereka. Maka jika amalan serta tingkah laku kita sama dengan pihak musuh dalam melakukn maksiat, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi pihak musuh.

Jika kita tidak mendapat pertolongan dari ALLAH S.W.T ke atas musuh-musuh ini, sudah pasti kita tidak akan dapat menandingi kehebatan mereka. Ketahuilah !!! Bersama kalian ada malaikat yang menjaga keselamatan dan para malaikat initelah mewakili dari pihak kerajaan ALLAH S.W.T untuk menjaga kamu supaya kamu berasa selamat. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan maka hendaklah kamu berasa malu terhadap apa yang ingin kamu lakukan dan janganlah kamu berkata " Sesungguhnya pihak musuh lebih hina dari kita, mereka tidak akan dapat menguasai ke atas kita sekalipun kita turut sama melakukan kejahatan".

Ucapan yang sedemikian boleh jadi akan terbalik kepada kita maka akan datang satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang telah berlaku kepada kaum Bani Israel yang mana akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang-orang kafir Majusi ( penyembah api ). Sentiasalah kamu memohon pertolongan kepada ALLAH S.W.T untuk menghilangkan penyakit yang ada dalam diri kamu itu sebagaimana kamu memohon pertolongan ALLAH S.W.T untuk mengalahkan musuh-musuh kamu. Berdoalah untuk diri kamu dan tidak lupa juga buat diri kami..

Hasil Tulisan saudara - rijaluddakwah –

Jazakallah hu khairan kathira..


Tuesday, February 26, 2008

Kata-kata Hikmah Khulafa' Ar-Rasyidin

SAIDINA ABU BAKAR RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu:
Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya,
lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau;
hartanya akan diambil secara paksa
oleh penguasa yang zalim atau;
hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat
dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau;
adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara
berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna...


SAIDINA UMAR AL-KHATTAB RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya
Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina
Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain,
pasti kehormatan dirinya akan terjaga..


SAIDINA UTHMAN BIN AFFAN RADHIALLAHU ANHU BERKATA:

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
Hatinya selalu berniat suci
Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
Segala perkara dihadapaiya dengan sabar dan tabah
Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.


SAIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH BERKATA:

Tiada solat yang sempurna
tanpa jiwa yang khusyu'
Tiada puasa yang sempurna
tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia
Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur'an
tanpa mengambil pangajaran daripadanya
Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu
tanpa memiliki sifat wara'
Tiada kebaikan mengambil teman
tanpa saling sayang-menyayangi
Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki
Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan

Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,
siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya,
siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara',
sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati..

P/s : Renungkanlah Al-Quran, Rimbunkanlah Iman..
Semoga sama-sama bermanfaat..

Wadah Perjuangan Pemimpin-Pemimpin Agung Islam

Assalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh..

Ana mulakan tulisan kali ini dengan memanjatkan segala puji-pujian hanyalah bagi ALLAH S.W.T Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Rahmat dan sejahtera semoga dilimpahkan buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang semulia-mulia pesuruh-Nya.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahumullah, “Daripada Aishah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda dalam rumahku ini, “ Ya Allah, sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, kemudian ia melakukan kezaliman ke atas mereka, maka kembalikan kezaliman itu ke atas mereka. Sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, dengan menunjukkan kasih sayang kepada mereka, maka kasihilah orang tersebut”.

Dan di dalam sebuah hadith yang lain Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang menjalankan pemerintahan mengenai urusan umat Islam tanpa menghiraukan kemiskinan, keperluan, kefakiran dan hajat mereka, nescaya Allah akan membiarkannya pada hari kiamat tanpa menghiraukan kemiskinannya, keperluannya, hajatnya dan kefakirannya.” Riwayat Abu Daud.

Sesungguhnya ALLAH S.W.T dan Rasulullah S.A.W telah menggariskan sifat-sifat penting yang seharusnya ada pada diri seorang pemimpin. Menurut Islam, kepimpinan atau imamah wajib dibentuk bagi melaksanakan dua tanggungjawab yang besar iaitu untuk memelihara agama dan menguruskan siasah dunia.

Memelihara agama bermaksud menjaga, mengembang, mempertahan dan melaksanakan syariat agama dalam semua bidang hidup sama ada yang mengenai peribadi, keluarga, masyarakat dan negara bahkan dunia seluruhnya.

Sementara menguruskan siasah dunia bererti mengendalikan urusan pentadbiran, pemerintahan dan pembangunan yang melibatkan soal-soal kehidupan, pembangunan material, kemajuan dan peradaban berasaskan kepada nilai-nilai agama dan prinsip-prinsip syariat.

Berikutan dengan urusan pemilihan pemimpin yang semakin hampir ini. Ingin ana sampaikan beberapa kisah keperibadian dan kata-kata mengenai 3 tokoh pemimpin yang agung dalam sejarah pembangunan Islam sesudah kawafatan baginda Rasulullah S.A.W. Semoga kita sama-sama beroleh rahmat dan hidayah dari ALLAH Azza Wa Jalla dalam usaha membuka akal dan minda kita untuk memilih pemimpin.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A

Sungguh kehidupan Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq adalah penuh dengan ibarat, penuh dengan nasihat, penuh dengan ajaran serta kenang-kenangan yang indah mulia. Selama dua tahun pemerintahannya itu baginda telah berjaya menyusun tiang-tiang pokok dan kekuatan Islam. Baginda telah membangunkan kekuatan-kekuatan yang penting bagi memelihara kepercayaan kaum Muslimin dan bagi memelihara keagungan Agama Islam.

Selepas kewafatan baginda Rasulullah S.A.W, setelah lama berbincang Majlis Syura dan kaum Muslimin dengan suara ramai telah memilih Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai pengganti Rasulullah S.A.W. Lalu bangkitlah Saidina Abu Bakar As-Siddiq untuk memberikan ucapannya yang terkenal yang antara lainnya baginda berkata:

"Wahai sekalian ummat! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu padahal aku ini bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Sebab itu jika pemerintahanku baik, maka sokonglah, tetapi jika tiada baik, maka perbaikilah. Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat pada sisiku hingga aku harus menolongnya mendapatkan haknya, sedang orang yang kuat di antara kamu adalah lemah pada sisiku, hingga aku harus mengambil hak orang lain yang berada di sisi nya, untuk dikembalikan kepada yang berhak semula. Patuhilah kepadaku selama aku patuh kepada ALLAH dan RasulNya. Akan tetapi jika aku mendurhakai ALLAH, maka kamu sekelian tidak seharusnya lagi patuh kepadaku.

Aku dipilih untuk memimpin urusan ini padahal aku enggan menerimanya. Demi ALLAH aku ingin benar kalau ada di antaramu orang yang cekap untuk urusan ini. Ketahuilah jika kamu meminta kepadaku agar aku berbuat sebagai yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. sungguh aku tidak dapat memperkenankannya, Rasulullah S.A.W adalah seorang hamba ALLAH yang dapat kurnia wahyu dari Tuhan, kerana itu baginda terpelihara dari kesalahan-kesalahan, sedang aku ini hanyalah manusia biasa yang tidak ada kelebihannya dari seorangpun juga di antara kamu."

Adalah diriwayatkan bahawa pada keesokan harinya iaitu sehari setelah baginda terpilih sebagai Khalifah, Saiyidina Abu Bakan R.A. kelihatan membawa barang perniagaannya ke pasar. Beberapa orang yang melihat itu lalu mendekati baginda, di antaranya Abu Ubaidah Bin Jarrah. Sahabat besar itu mendekati baginda seraya berkata, "Urusan Khalifah itu tidak boleh dicampuri dengan berniaga! Lalu Abu Bakar R.A. bertanya, "Jadi dengan apakah aku hidup, dan bagaimana aku membelanjai rumah tanggaku? Demikian sedihnya nasib yang menimpa Saidina Abu Bakar R.A. walaupun kedudukannya sebagai Kepala Negara namun belum ada lagi ketetapan bagi seseorang kepala pemerintah Islam memperolehi gaji dari harta kerajaan.

Keadaan ini mendapat perhatian dari para sahabat lalu mereka menentukan tunjangan secukupnya buat baginda dan buat keluarga baginda yang diambil dari Baitul Mal. Kemudian itu barulah Khalifah Abu Bakar meninggalkan usaha perniagaannya kerana hendak memusatkan seluruh tenaganya untuk mengembangkan agama Islam dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Khalifah. Semasa bertugas sebagai Khalifah ummat Islam baginda hanya menerima peruntukan sebanyak enam ribu dirham sahaja setahun iaitu kira-kira lebih kurang 1,200 ringgit sahaja setahun. Peruntukan itu tidak dibelanjakannya untuk keperluan dirinya malahan sebelum wafatnya baginda telah memenitahkan supaya pendapatannya itu diserahkan kembali kepada Baitul Mal.

Baginda telah mengakhiri riwayat pemerintahan yang dipimpinnya dengan menundukkan sebahagian daripada negeri Syam dan sebahagian daripada negeri Iraq, lalu pulang ke rahmatullah dengan dada yang lapang, ketika umur baginda menginjak 63 tahun. Baginda dikebumikan di samping makam Rasulullah S.A.W. di Masjid Madinah. Semoga riwayat serta perjuangan baginda menjadi contoh ibadat yang murni bagi sekelian kaum Muslimin.


Saidina Umar Al-Khattab R.A

Saidina Umar ketika menyampaikan ucapan dasarnya sempena pemilihannya menyatakan: "Wahai manusia, sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku." Kemudian seorang makmum berkata, "Demi ALLAH S.W.T jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkan dengan mata pedang kami!" Umar menjawab: "Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH S.W.T yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, terdapat mereka yang akan memperbetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedang."

Ubaidullah bin Umar menceritakan bahawa suatu hari para sahabat melihat Saidina Umar R.A memikul tempat air di bahunya. Lalu mereka bertanya : "Wahai Amirul Mukminin ! Mengapa tuan sendiri yang memikul air ini ?" Jawab Umar al-Khattab : "Saya merasakan bahawa diri saya telah takbur, lalu saya mengangkat air ini untuk menundukkannya"

Kata Aslam beberapa orang berbicara dengan Abdul Rahman bin Auf. Kata mereka : "Umar al-Khattab telah menimbulkan rasa takut kami sehingga mata kami tidak berani bertentangan mata dengannya". Hal ini diadukan oleh Abdul Rahman bin Auf. Lalu Umar al-Khattab berkata : "Benarkah mereka berkata demikian ?" "Demi ALLAH , saya telah cuba melunakkannya, sehingga lantaran lunak saya itu saya takut dimarahi ALLAH. Saya cuba pula dengan sikap keras sehingga saya takut ALLAH marah kepada saya. Bagaimanakah lagi ? Bagaimana nasib saya yang berbeza dengan mereka ?"

Diriwayatkan oleh Umar bin Murrah bahawa seorang lelaki bertemu dengan Umar al-Khattab dan berkata : "Bersikap lunaklah kepada kami, sebab kami amat gentar melihatmu !" Umar menjawab : "Adakah saya berbuat sesuatu yang zalim ? " Jawab lelaki itu : "Tidak" Kata Umar lagi : "Kalau begitu, biarlah ALLAH menambah rasa takut dalam hatimu terhadapku"

Menurut Barrak bin Makrur : "Pada suatu hari Umar al-Khattab naik ke mimbar untuk memberi tazkirah, tiba-tiba dia merasa sakit. Menurut para jamaah, ubatnya adalah madu lebah dan di Baitulmal banyak tersimpan madu lebah" Kata beliau : "Kalau tuan-tuan izinkan, saya akan gunakannya, tetapi kalau tidak diizinkan haram ke atas saya mengambilnya"

Pada suatu malam sedang Saidina Umar meronda di sekeliling kota dan kampung untuk melihat hal rakyatnya, dia terdengar tangisan kanak-kanak. Saidina Umar menghampiri pondok buruk tempat tinggal kanak-kanak itu.

Dia mendengar ibunya menjerang sesuatu. Kanak-kanak tadi senyap seketika apabila melihat ibunya sedang memasak. Namun masakannya tidak siap-siap sehinggalah anaknya tertidur dalam kelaparan. Melihat keadaan yang menyayat hati itu, Saidina Umar memberi salam dan meminta izin untuk masuk. Sebenarnya wanita itu tidak mengetahui, bahawa tetamu yang datang itu adalah seorang Khalifah. Saidina Umar bertanya tentang hal kehidupan wanita itu. Wanita itu mengadu yang dia dan anaknya sudah berhari-hari tidak makan. Apabila anaknya menangis hendakkan makanan, dia pura-pura memasak dengan memasukkan beberapa ketul batu ke dalam periuk. Keadaan tersebut membuatkan anaknya diam sebentar kerana menyangka ibunya memasak sesuatu.

Wanita itu mengadu dan mengutuk Saidina Umar kerana tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Mendengar kutukan wanita itu, Saidina Umar terdiam sejenak. Sebentar kemudian, dia memohon diri meninggalkan keluarga wanita itu. Dalam kegelapan malam, Saidina Umar terus menuju ke Baitumal lalu mengambil sendiri beberapa karung gandum untuk dihantar ke rumah wanita itu.

Sebaik sampai di rumah wanita itu, Saidina Umar memberi salam dan masuk ke rumahnya buat kali kedua. Dia mengambil gandum dari karung yang di bawanya, lalu terus memasakkan untuk wanita itu dan anaknya. Wanita itu masih tidak sedar bahawa orang yang datang membawa gandum dan memasak itu ialah Khalifah sendiri. Setelah siap, Saidina Umar sendiri menghidangkan makanan untuk wanita itu dan anaknya.

Melihat mereka gembira menghadap makanan, Saidina Umar berasa amat senang hati dan beredar dari situ. "kalaulah Saidina Umar buat begini, alangkah baiknya..."Kata wanita itu tanpa menyedari bahawa orang yang berada di hadapannya ialah Saidina Umar sendiri. Lihatlah betapa zuhudnya Saidina Umar, pangkat dan jawatan yang dipegangnya tidak sedikit pun membuatkan baginda sombong, angkuh atau mengharapkan layanan istimewa bahkan Saidina Umar sangat terbuka terhadap kritikan.


Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz

Sebelum menjawat jawatan Khalifah, pada suatu ketika Umar Ibnu Abdul Aziz dibawa oleh Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik untuk diperlihatkan kehebatan pasukan tentera Bani Umayyah yang menguasai 1/4 dunia. Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik kemudian berkata pada Umar Ibnu Abdul Aziz, "Apa yang sedang kau lihat wahai Ibnu Abdul Aziz? Tidakkah kau kagum dengan kehebatan kerajaan kita?" Lalu Umar Ibnu Abdul Aziz menjawab,"Aku sedang melihat dunia itu sedang memakan antara satu sama lain dan engkau adalah orang yang bertanggungjawab dan akan dipersoalkan ALLAH mengenainya. Bahkan yang paling mengkagumkan aku adalah mereka yang mengenali ALLAH kemudian menderhakai-Nya, mengenali syaitan kemudian mengikutinya dan mengenali dunia kemudian dia condong padanya." Itulah jawapan seorang manusia yang hebat tawakalnya kepada ALLAH.

Pada ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz dilantik sebagai Khalifah menggantikan Sulaiman bin Abdul Malik dalam keadaan yang beliau sendiri tidak suka akan pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang.

Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada ALLAH dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. kemudian beliau berkata,"Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa bermesyuarat denganku dan tanpa aku memintanya serta tidak pernah bermesyuarat bersama kamu semua. Sesungguhnya aku mencabut baiah janji setia yang ada ditengkuk-tengkuk kamu yang telah kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu suka”. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: “Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan”.

Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, jangan terlalu mencintai kekayaan dunia dan mendorong mereka supaya lebih mencintai akhirat. Kemudian beliau berkata pula kepada mereka: "Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa yang taat kepada ALLAH, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada ALLAH, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada ALLAH di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada ALLAH, janganlah sesiapa mentaati aku".

Setelah itu beliau turun dari mimbar dan pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa tersebut anak beliau berumur 17, kemudian Abdul Malik berkata: "Apakah yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?"

Lalu Umar menjawab, "Wahai Anakku! Ayahmu terlalu letih menguruskan jenazah bapa saudaramu dan ayahmu tidak pernah merasa suatu keadaan yang tubuhnya begitu penat lebih dari waktu ini oleh itu ayahmu ingin berehat untuk menghilangkan kepenatan ini."

Selepas itu Abdul Malik berkata, "Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul Mukminin?" Lantas Umar menjawab, "Anakku! Nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang bersama-sama dengan orang ramai dan InsyaALLAH aku akan mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya."

Seterusnya Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup sehingga ke waktu Zuhur, wahai Amirul Mukminin?" Mendengar kata-kata tersebut Umar terus bangkit lalu beliau mencium kedua belah mata dan memeluk anaknya, kemudian beliau berkata: "Segala puji bagi ALLAH yang telah melahirkan seorang anak dari sulbi aku, orang yang boleh membantu aku di dalam perkara agama aku."

Maka pada hari kedua beliau bertugas selaku khalifah, beliau memberikan khutbah yang antara lainnya menyebut, "Wahai sekalian umat manusia, tidak ada kitab selepas Al-Quran dan tidak ada nabi selepas Muhammad S.A.W. Sesungguhnya aku bukan penentu hukum tetapi aku hanyalah pelaksana hukum ALLAH. Aku bukan ahli bid'ah, aku hanya seorang yang mengikut sunnah. Aku bukan orang yang paling baik dikalangan kamu bahkan akulah orang yang paling berat tanggungannya dikalangan kamu. Aku mengucapkan ucapan ku ini sedangkan aku tahu bahawa aku orang yang paling banyak dosa disisi ALLAH." Terduduk Khalifah Umar dan teresak-esak beliau menangis disitu yang kemudian disusuli dengan kata-kata, "Alangkah besarnya ujian ALLAH kepadaku."

Pada suatu hari, isterinya melihat khalifah sedang menangis dirumahnya. Lalu bertanyalah si isteri kepadanya, "Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?" Khalifah Umar menjawab, "Wahai isteriku, aku telah diuji ALLAH dengan jawatan ini dan aku sedang teringat orang-orang yang miskin dan ibu-ibu yang kehilangan suami yang anak-anaknya ramai tetapi rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, aku teringat para fuqara kaum muslimin, aku tahu bahawa mereka kesemuanya ini akan mendakwaku di hari kiamat kelak dan aku bimbang aku tidak akan dapat menjawab hujah-hujah mereka sebagai seorang khalifah kerana aku tahu yang menjadi pembela dipihak mereka adalah Rasulullah S.A.W." Mendengar kata-katanya itu maka isterinya juga menangis.

Dalam satu peristiwa Khalifah Umar bin Abdul Aziz, sewaktu sedang bekerja di rumahnya dia didatangi puteranya untuk membincangkan sesuatu hal yang berhubung dengan urusan keluarga. Khalifah Umar lantas memadamkan lampu yang terletak di meja yang menerangi bilik kerjanya itu.Puteranya hairan melihat sikap ayahnya itu lalu bertanya: "Kenapa ayah padamkan lampu itu?". Jawab Umar: “Lampu yang digunakan adalah untuk bekerja dan ini kepunyaan kerajaan. Minyak yang digunakan itu dibeli dengan menggunakan wang kerajaan, sedang perkara yang hendak anakanda perbincangkan dengan ayahanda adalah perkara keluarga."Lantas baginda meminta pembantunya membawa lampu dari bilik dalam. "Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyak pun kita beli dengan wang kita sendiri."

Diriwayatkan juga bahawa khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz juga tidak mengambil sebarang pemberian istimewa terhadap seorang khalifah seperti kenderaan rasmi, pasukan pengawal dan banyak lagi. Selama 2 tahun 5 bulan beliau memerintah, kerajaan Islam Bani Umayyah berubah secara keseluruhan sehinggakan tidak ada seorang rakyat pun layak menerima zakat kerana kemewahan hidup mereka. Demikianlah besarnya sifat amanah dari seorang pemimpin berkaliber yang berjiwa besar.


Begitulah kisah keagungan sifat-sifat peribadi pemimpin-pemimpian kerajaan Islam dahulu. Terlalu banyak untuk disebutkan seperti Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali karamallahuwajhah, Khalifah Harun Al-Rasyid, Sultan Muhammad Al-Fatih yang membuka kota Constantinople dan ramai lagi. Sesungguhnya dunia Islam begitu dahagakan kepimpinan seperti mereka. Sesungguhnya hakikat kejayaan adalah dalam keikhlasan mereka berjuang semata-mata demi untuk menegakkan agama dan syariat ALLAH di muka bumi ini serta menjadikan diri Rasulullah S.A.W sebagai contoh tauladan dan ikutan mereka. Seperti yang disebutkanALLAH di dalam Al-Quran, "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya." (Al-Ahzab 33: 21)

Maka perhatikanlah akhlak dan objektif perjuangan bakal pemimpin yang akan dipilih nanti. Adakah mereka juga menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai ikutan dan Islam itu sebagai puncak perjuangan. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi daripada Saidina Ali Karamallahuwajhah yg bermaksud:

Apabila umat telah melakukan 15 perkara, maka bala’ pasti akan turun kepada mereka. Lalu ditanya tentang apakah itu wahai Rasulullah? Jawab baginda:

1.Apabila hasil kekayaan negara hanya beredar dikalangan golongan tertentu sahaja
2.Apabila amanah dijadikan satu sumber dalam mengaut keuntungan
3.Zakat dijadikan hutang
4.Suami menurut sahaja kehendak isteri
5.Anak derhaka terhadap ibunya
6.Anak terlalu mementingkan kawan
7.Anak juga menjauhkan diri daripada bapanya
8.Pertengkaran berlaku di dalam masjid
9.Yang menjadi pemimpin dikalangan mereka ialah orang yang paling hina diantara mereka
10.Seseorang itu dipandang tinggi kerana ditakuti kejahatannya
11.Arak sudah diminum secara terang-terangan di merata tempat
12.Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki
13.Para isteri yang tidak bermoral disanjung tinggi
14.Muzik banyak dimainkan
15.Generasi akhir umat ini melaknat generasi pertama (para sahabat).

Maka pada ketika itu, mereka bakal ditimpa oleh angin merah atau gempa bumi atau diubah keadaan mereka menjadi haiwan.

Tolaklah perjuangan yang menghalalkan 15 perkara diatas dan mereka mementingkan duniawi semata-mata, buangkanlah fahaman assabiyah yang menjumutkan pemikiran kita dan hancurkanlah pemerintahan yang mendahulukan riba dan rasuah serta mereka yang mengingkari amanah. Yakinlah bahawa kita pasti akan dihitung diakhirat kelak di atas setiap perlakuan kita didunia ini.

P/s : Yang kabur itu makin jelas dan yang jelas itu makin nyata. Semoga panji-panji Islam akan berkibar dibumi Melayu ini. ALLAHU AKBAR!!!

Sumber rujukan artikel http://tayibah.com, kuliah S.S Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan buku Himpunan Kisah-kisah Teladan.

Saturday, February 23, 2008

Kematian Yang Pasti..

Ya Tuhanku..
Aku sesali segala dosa yang telah aku lakukan..
Aku bertaubat..
Terimalah taubatku ini..
Mustajabkanlah doaku ini..

Ya Tuhanku..
Hal di dunia adalah mengganggu fikiranku..
Perbaikilah duniaku..
Setelah nanti kematian menghampiriku..
Juga di dalam perkuburanku..
Aku sungguh takut keseorangan di dalam kubur..
Dan aku takut liang lahad yang sempit..

Ampunkanlah dari apa-apa amalan buruk
Dan maksiat yang tersembunyi bagi ku..
Dan terangkanlah padaku apa-apa yang
Terselindung dari pengetahuanku..
Kasihanilah aku dalam sujudku ini..
Sahutlah aku dari sahutan kasihmu..
Terimalah untukku sebaik-baiknya permandianku..

Biarkanlah jiranku mendoakanku..
Dari doa-doa yang baik-baik..
Halalkanlah bagiku semua keburukkan yang kulakukan
Kepada semua orang yang menguruskan jenazahku..
Sungguhpun aku ditinggalkan sendirian..
Dan mereka yang telah meletakkan aku ke dalam kubur..

Aku mahu melihat Mu dipandangan mataku..
Dan luaskanlah tempat perkuburanku..
Oh Kaulah idaman oleh pandangan mataku..
Kini aku sudah tiba ditempat yang baru..
Di bilik ini,
Tiada lagi tempat bergantung..
Melainkan kau Ya ALLAH..

Wahai Tuhanku..
Yang permulaanya menjadikan kawasan lapang ini..
Dan telah aku ingati masa lalu ku..
Dari tanda-tanda ayat yang telah tertulis..
Dan pandangan mataku sudah jelas bagi ku..
Dari permulaan kini baru ku ketahui..
Barulah jelas pandanganku kepada kekuasaan ALLAH..
Tidak dapat ku tahan titisan air mata ini..
Yang mengalir kerana ingatanku pada Mu Ya ALLAH..
Akan aku pelihara kitab Mu..
Dan aku sanggup menjadi hamba abdi Mu..

Aku masih ingat betapa binasanya jasad ku
Semasa aku dikebumikan..
Di atas kekuasaan Mu kehebatan Mu dan kasih sayang Mu..
Hindarkanlah diri ku ini dari nafsu yang tidak diingini..
Kepada nafsu yang diredhai Mu Ya ALLAH..

Telah aku rasai tanah tempat perkuburan..
Yang ku genggam dalam mimpi..
Aku mahu berehat di dalam kasih sayang..
Dan keredhaan Mu pada ku..

Cukup sudah nikmat yang telah kau berikan kepada ku Ya ALLAH..
Aku bertaubat di atas kekuasaan Mu..
Kerana masih memberiku peluang berjalan
Di atas muka bumi Mu ini..

Lebih baik aku menahan lapar..
Dari menurut nafsu kejahatan..
Kuatkanlah imanku kepada Mu..
Seandainya aku diheret ke kanca maksiat..
Hindarilah aku dari bakaran api neraka..
Hindarilah aku dari bakaran api neraka yang menyambar diriku..

Ampunkanlah aku wahai Tuhan Yang Maha Menerima Taubat..
Ampunkanlah aku wahai Tuhan Yang Maha Luas Rahmat..
Aku adalah hamba Mu yang menzalimi diriku sendiri..
Wahai Yang Maha Hidup dan Yang Maha Mentadbir Segala-galanya..
Dengan rahmat Mu itu aku memohon pertolongan..
Baikilah segala urusanku..

Ya ALLAH..
Janganlah kau serahkan diriku ini kepada
diriku sendiri walaupun sekelip mata..
Ya ALLAH..
Jangan kau serahkan diriku ini kepada aku..
Aku tak mampu menguruskannya..
Ya ALLAH..
Jangan kau serahkan diriku ini kepada selain daripada engkau..
Mereka akan mensia-siakan ku..

Ya ALLAH..
Kepada Mu aku berserah diri..
Kepada Mu aku berhukum..
Ampunilah aku atas kesalahan yang sudah aku lakukan dan yang sebelumnya..
Baik yang aku sembunyikan atau yang aku nyatakan..
Engkaulah yang terdahulu dan
Engkaulah yang terakhir..
Tiada Tuhan melainkan Engkau..
Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Mu Ya ALLAH..

P/s : Semoga deraian air mata menjadi titisan yang berharga buat menyimbah api neraka semoga selamat di titian Sirat bahagia menuju syurga abadi.. InsyaALLAH..

Thursday, February 21, 2008

Bekerja Untuk Melihat Apa Yang Kita Percaya

February 21st, 2008 | by Abu Saif | 878 Views | Print This Post Print This Post | Email this post Email this post |

perak.jpg
foto

“Pasukan kita akan bertanding di Piala Dunia dan menjulang piala kemenangan!”, kata jurulatih Perak kepada pemainnya.

“Ishh… bior benor. Beda’ah je dia ni!”, rungut hati seorang pemain.

Peminat pun terlopong. Ada yang ketawa berdekah-dekah. Keras perut sampai keras hati.

Pasukan Perak nak julang Piala Dunia?

Karut… karut!

SEKADAR ANALOGI

Agaknya perasaan seperti itulah yang ada di benak para sahabat tatkala Baginda SAW bercakap tentang Constantinople.

“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” [Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335]

Duduk dalam kepungan tentera al-Ahzab, antara hidup dan mati… tiba-tiba kumpulan kecil yang menghuni Madinah itu mahu menguasai sebesar-besar kota kemegahan dunia! Tentu sahaja itu semua mimpi. Mimpi di siang hari.

SINIS KEPADA MANIFESTO ALTERNATIF

Agaknya, itu juga perasaan sinis ramai pihak semasa membaca manifesto alternatif untuk Pilihanraya Umum ke-12 akan datang.

“Pendidikan percuma? Turun harga minyak? Kah kah kah!”, keras perut dan keras hati orang mentertawakannya.

Ketawa itu boleh berpanjangan, terutamanya bagi pemerhati yang berstatuskan penonton

BEKERJA UNTUK MELIHAT APA YANG KITA PERCAYA

Itu cara Rasulullah SAW membentuk sahabat.

Membentuk mereka dengan kepercayaan, dan seterusnya menggerakkan mereka untuk bekerja bagi melihat apa yang mereka percaya. Itu jati diri golongan percaya. Mereka bukan percaya kosong, mereka bukan menunggu jelmaan kepercayaan, tetapi mereka berusaha merealisasikan apa yang mereka percaya.

Percaya selepas melihat sesuatu… percaya yang biasa-biasa sahaja. Tak perlu berusaha pun… jadi penonton pun boleh dapat kualiti percaya yang rendah sebegini.

Tetapi kepercayaan yang hebat ialah percaya sebelum melihat sesuatu dan bekerja untuk melihat apa yang kita percaya.

BAGAIMANA MAMPU PERCAYA SEBELUM MELIHAT?

Apa peliknya?

Kita belum pernah melihat Syurga. Tetapi kita percaya. Dan kita saban hari bekerja keras untuk melihat apa yang kita percaya.

Kita sudah lama tidak mendengar tentang kemenangan Islam. Belum pernah melihat bangkitnya kebenaran. Tetapi kita percaya. Dan kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya.

Para sahabat telah menguji dan mengenalpasti siapakah Muhammad bin Abdullah itu. Baginda SAW adalah seorang Rasul… yang tidak bercakap dari hawa nafsunya… bahkan ucapannya adalah terjemahan kehendak Allah. Maka janji Nabi SAW itu adalah janji yang benar. Biar pun belum dapat dipastikan bagaimanakah kebenaran itu boleh direalisasikan.

Bagaimanakah Constantinople itu boleh ditumbangkan? Jalannya belum jelas. Tetapi ia sebuah JANJI, yang dilafazkan oleh golongan yang bekerja untuk melihat apa yang mereka percaya.

SINIS DENGAN KEKALAHAN DI SEPANJANG PERCUBAAN?

“Jangan sertai misi Constantinople itu. Kita di pihak yang kalah. Bukankah Allah telah berkata, JANGAN CAMPAKKAN DIRIMU KEPADA BINASA?”, desas desus sesetengah mereka yang mendengar titah Muawiyah Radhiyallahu ‘anhu.

Misi pertama dibentuk Muawiyah, bersama kepimpinan anaknya Yazid, untuk menumpaskan Constantinople.

“Kamu sudah silap. Meletakkan ayat di luar konteksnya!”, desas desus itu disergah Abu Ayyub al-Ansari Radhiyallahu ‘anhu.

Beliau tidak menyetujui kefahaman yang begitu. BINASA yang disebutkan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195 itu adalah binasa akibat BAKHIL, enggan membelanjakan harta di jalan Allah. Bukan binasa kerana berjuang.

Abu Ayyub tidak bercakap sahaja. He walked his talk!

Beliau menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang “bekerja untuk melihat kepercayaan”, biar pun usianya sudah lebih 80 tahun.

Usaha pertama itu gagal…

Usaha di zaman Sulaiman bin Abdul Malik juga gagal.

Usaha di zaman Harun al-Rashid seterusnya gagal.

Usaha di bawah kepimpinan Jeneral Alparslan juga gagal.

alparslan.png
Jeneral Alp Arslan

Setiap “kegagalan” itu menambah matangkan pasukan Islam… dan menambahkan lagi suhu bongkak pihak yang menang. Dan bongkak itulah yang menjadikan Constantinople bertambah gelap, pemerintah semakin lupa diri, rakyat semakin dimangsakan, dan pasukan yang kalah demi kalah itu semakin bangkit.

Bukan kalah 11 kali setiap 4 tahun, tetapi kalah dan terus kalah berkali-kali dalam tempoh 800 tahun!

Akhirnya Constantinople tunduk. Golongan yang percaya sebelum melihat sesuatu telah mati, namun waris-warisnya menjulang janji. Biar pun pemenang di pusingan era 1453M itu hanya manusia biasa, bukan sahabat Nabi, bukan Arab dan bukan keturunan Nabi, namun mereka manusia biasa yang luar biasa! Mereka percaya sebelum melihat dan berjuang untuk melihat apa yang mereka percaya.

Sebaik-baik ketua…

Sebaik-baik tentera…

Kesemuanya adalah insan biasa… yang LUAR BIASA.

MAMPUKAH TEMBOK ITU RUNTUH

Berhenti ketawa sejenak kerana saya ingin bertanya, “mampukah manifesto alternatif itu direalisasikan”?

israa_81.JPG

Dan katakanlah:” telah datang kebenaran, dan hilang lenyaplah kebatilan; Sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap” (Al-Israa’ : 81)

Kebenaran itu adalah kejujuran, keadilan, amanah, anti korupsi, anti rasuah, anti manipulasi dan menjulang akhlaq serta segala perilaku yang terpuji.

Sesiapa sahaja yang komited dengan nilai-nilai ini, adalah di pihak yang benar dan memperjuangkan kebenaran.

Kebatilan itu adalah penyelewengan, pembaziran, kezaliman, rasuah, manipulasi dan menjustifikasikan perbuatan keji sebagai perkara biasa yang dijamah saban hari.

Kebenaran pasti akan menang, kebatilan akan hancur, lenyap dan musnah.

Wahyu memberitahu.

Sejarah pun tidak pernah menipu.

Namun apa yang diperlukan adalah pasukan yang PERCAYA SEBELUM MELIHAT SESUATU. DAN BEKERJA KERAS UNTUK MELIHAT APA YANG MEREKA PERCAYA ITU.

Kita pasti berjaya kerana agenda kebenaran ini ada orang seperti saya dan anda. Manusia biasa yang luar biasa. Kerana kita percaya dan bekerja untuk melihat apa yang kita percaya!

Penonton boleh terus ketawa.

Kerana itu sahaja yang mereka ada.

almutaffifin.JPG

Sesungguhnya orang-orang yang jenayah, mereka selalu mentertawakan orang-orang yang percaya.

Dan apabila orang-orang yang percaya lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya).

Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira (tanpa ada rasa bersalah);

Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: “sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!”

Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang-orang yang percaya itu!

Maka pada hari ini, orang-orang yang percaya pula akan mentertawakan orang yang kufur dan ingkar itu.

Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya).

Untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): “Bukankah orang-orang yang ingkar itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?” [Al-Muthaffifeen : 29 - 36]

“Seeru ‘ala barakatillah”

Abu Saif @ www.saifulislam.com