Salam Ukhwah

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.

The Iqra sekadar medan peringatan buat yang terlupa..
Diwujudkan tidak untuk mendabik dada..
Bukan menghebah-hebahkan keadaan semasa..

Sekadar memenuhi tuntutan agama..
Untuk ingat-mengingati kasih-mengasihi sesama manusia..

Siapalah kita kalau bukan hamba-Nya yang hina..
Yang pasti kita ketemui disuatu masa..
Akan dipertanggungjawabkan segala amalan di dunia..

Thursday, February 21, 2008

Bekerja Untuk Melihat Apa Yang Kita Percaya

February 21st, 2008 | by Abu Saif | 878 Views | Print This Post Print This Post | Email this post Email this post |

perak.jpg
foto

“Pasukan kita akan bertanding di Piala Dunia dan menjulang piala kemenangan!”, kata jurulatih Perak kepada pemainnya.

“Ishh… bior benor. Beda’ah je dia ni!”, rungut hati seorang pemain.

Peminat pun terlopong. Ada yang ketawa berdekah-dekah. Keras perut sampai keras hati.

Pasukan Perak nak julang Piala Dunia?

Karut… karut!

SEKADAR ANALOGI

Agaknya perasaan seperti itulah yang ada di benak para sahabat tatkala Baginda SAW bercakap tentang Constantinople.

“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” [Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335]

Duduk dalam kepungan tentera al-Ahzab, antara hidup dan mati… tiba-tiba kumpulan kecil yang menghuni Madinah itu mahu menguasai sebesar-besar kota kemegahan dunia! Tentu sahaja itu semua mimpi. Mimpi di siang hari.

SINIS KEPADA MANIFESTO ALTERNATIF

Agaknya, itu juga perasaan sinis ramai pihak semasa membaca manifesto alternatif untuk Pilihanraya Umum ke-12 akan datang.

“Pendidikan percuma? Turun harga minyak? Kah kah kah!”, keras perut dan keras hati orang mentertawakannya.

Ketawa itu boleh berpanjangan, terutamanya bagi pemerhati yang berstatuskan penonton

BEKERJA UNTUK MELIHAT APA YANG KITA PERCAYA

Itu cara Rasulullah SAW membentuk sahabat.

Membentuk mereka dengan kepercayaan, dan seterusnya menggerakkan mereka untuk bekerja bagi melihat apa yang mereka percaya. Itu jati diri golongan percaya. Mereka bukan percaya kosong, mereka bukan menunggu jelmaan kepercayaan, tetapi mereka berusaha merealisasikan apa yang mereka percaya.

Percaya selepas melihat sesuatu… percaya yang biasa-biasa sahaja. Tak perlu berusaha pun… jadi penonton pun boleh dapat kualiti percaya yang rendah sebegini.

Tetapi kepercayaan yang hebat ialah percaya sebelum melihat sesuatu dan bekerja untuk melihat apa yang kita percaya.

BAGAIMANA MAMPU PERCAYA SEBELUM MELIHAT?

Apa peliknya?

Kita belum pernah melihat Syurga. Tetapi kita percaya. Dan kita saban hari bekerja keras untuk melihat apa yang kita percaya.

Kita sudah lama tidak mendengar tentang kemenangan Islam. Belum pernah melihat bangkitnya kebenaran. Tetapi kita percaya. Dan kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya.

Para sahabat telah menguji dan mengenalpasti siapakah Muhammad bin Abdullah itu. Baginda SAW adalah seorang Rasul… yang tidak bercakap dari hawa nafsunya… bahkan ucapannya adalah terjemahan kehendak Allah. Maka janji Nabi SAW itu adalah janji yang benar. Biar pun belum dapat dipastikan bagaimanakah kebenaran itu boleh direalisasikan.

Bagaimanakah Constantinople itu boleh ditumbangkan? Jalannya belum jelas. Tetapi ia sebuah JANJI, yang dilafazkan oleh golongan yang bekerja untuk melihat apa yang mereka percaya.

SINIS DENGAN KEKALAHAN DI SEPANJANG PERCUBAAN?

“Jangan sertai misi Constantinople itu. Kita di pihak yang kalah. Bukankah Allah telah berkata, JANGAN CAMPAKKAN DIRIMU KEPADA BINASA?”, desas desus sesetengah mereka yang mendengar titah Muawiyah Radhiyallahu ‘anhu.

Misi pertama dibentuk Muawiyah, bersama kepimpinan anaknya Yazid, untuk menumpaskan Constantinople.

“Kamu sudah silap. Meletakkan ayat di luar konteksnya!”, desas desus itu disergah Abu Ayyub al-Ansari Radhiyallahu ‘anhu.

Beliau tidak menyetujui kefahaman yang begitu. BINASA yang disebutkan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195 itu adalah binasa akibat BAKHIL, enggan membelanjakan harta di jalan Allah. Bukan binasa kerana berjuang.

Abu Ayyub tidak bercakap sahaja. He walked his talk!

Beliau menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang “bekerja untuk melihat kepercayaan”, biar pun usianya sudah lebih 80 tahun.

Usaha pertama itu gagal…

Usaha di zaman Sulaiman bin Abdul Malik juga gagal.

Usaha di zaman Harun al-Rashid seterusnya gagal.

Usaha di bawah kepimpinan Jeneral Alparslan juga gagal.

alparslan.png
Jeneral Alp Arslan

Setiap “kegagalan” itu menambah matangkan pasukan Islam… dan menambahkan lagi suhu bongkak pihak yang menang. Dan bongkak itulah yang menjadikan Constantinople bertambah gelap, pemerintah semakin lupa diri, rakyat semakin dimangsakan, dan pasukan yang kalah demi kalah itu semakin bangkit.

Bukan kalah 11 kali setiap 4 tahun, tetapi kalah dan terus kalah berkali-kali dalam tempoh 800 tahun!

Akhirnya Constantinople tunduk. Golongan yang percaya sebelum melihat sesuatu telah mati, namun waris-warisnya menjulang janji. Biar pun pemenang di pusingan era 1453M itu hanya manusia biasa, bukan sahabat Nabi, bukan Arab dan bukan keturunan Nabi, namun mereka manusia biasa yang luar biasa! Mereka percaya sebelum melihat dan berjuang untuk melihat apa yang mereka percaya.

Sebaik-baik ketua…

Sebaik-baik tentera…

Kesemuanya adalah insan biasa… yang LUAR BIASA.

MAMPUKAH TEMBOK ITU RUNTUH

Berhenti ketawa sejenak kerana saya ingin bertanya, “mampukah manifesto alternatif itu direalisasikan”?

israa_81.JPG

Dan katakanlah:” telah datang kebenaran, dan hilang lenyaplah kebatilan; Sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap” (Al-Israa’ : 81)

Kebenaran itu adalah kejujuran, keadilan, amanah, anti korupsi, anti rasuah, anti manipulasi dan menjulang akhlaq serta segala perilaku yang terpuji.

Sesiapa sahaja yang komited dengan nilai-nilai ini, adalah di pihak yang benar dan memperjuangkan kebenaran.

Kebatilan itu adalah penyelewengan, pembaziran, kezaliman, rasuah, manipulasi dan menjustifikasikan perbuatan keji sebagai perkara biasa yang dijamah saban hari.

Kebenaran pasti akan menang, kebatilan akan hancur, lenyap dan musnah.

Wahyu memberitahu.

Sejarah pun tidak pernah menipu.

Namun apa yang diperlukan adalah pasukan yang PERCAYA SEBELUM MELIHAT SESUATU. DAN BEKERJA KERAS UNTUK MELIHAT APA YANG MEREKA PERCAYA ITU.

Kita pasti berjaya kerana agenda kebenaran ini ada orang seperti saya dan anda. Manusia biasa yang luar biasa. Kerana kita percaya dan bekerja untuk melihat apa yang kita percaya!

Penonton boleh terus ketawa.

Kerana itu sahaja yang mereka ada.

almutaffifin.JPG

Sesungguhnya orang-orang yang jenayah, mereka selalu mentertawakan orang-orang yang percaya.

Dan apabila orang-orang yang percaya lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya).

Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira (tanpa ada rasa bersalah);

Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: “sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!”

Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang-orang yang percaya itu!

Maka pada hari ini, orang-orang yang percaya pula akan mentertawakan orang yang kufur dan ingkar itu.

Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya).

Untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): “Bukankah orang-orang yang ingkar itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?” [Al-Muthaffifeen : 29 - 36]

“Seeru ‘ala barakatillah”

Abu Saif @ www.saifulislam.com

No comments: