Salam Ukhwah

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.

The Iqra sekadar medan peringatan buat yang terlupa..
Diwujudkan tidak untuk mendabik dada..
Bukan menghebah-hebahkan keadaan semasa..

Sekadar memenuhi tuntutan agama..
Untuk ingat-mengingati kasih-mengasihi sesama manusia..

Siapalah kita kalau bukan hamba-Nya yang hina..
Yang pasti kita ketemui disuatu masa..
Akan dipertanggungjawabkan segala amalan di dunia..

Monday, January 21, 2008

Penghijarahan 22 warga Sydney kepada Nur ALLAH S.W.T



22 orang warga Australia memeluk Islam dan mengaku dengan syahadah kesaksian terhadap keesaan ALLAH S.W.T dan kerasullan Nabi Muhammad S.A.W di hadapan brother Khalid Yasin dan ribuan lagi Ummat Islam Australia. Melihat klip ini membuatkan ana sedar bahawa jihad mereka di bumi yang dinaungi dan dikelilingi pemerintahan bukan Islam adalah menyebarkan kebenaran Islam seperti yang dilakukan Rasulullah S.A.W lebih 1400 tahun dahulu dan mereka berusaha menjalankan dan memenuhi tanggungjawab mereka. Mereka terus berjuang di jalan ALLAH dalam menyampaikan kebenaran. Jika itu sumbangan mereka terhadap agama ALLAH maka apakah sumbangan kita? Di atas landasan dan objektif apakah kita perlu terus berjuang? Bukankah orang melayu itu "Islam".. Bukankah negara ini sudah dikatakan negara "Islam"..

Ana kemudiannya sedar bahawa sebenarnya jihad kita di bumi sendiri adalah untuk terus memastikan Ummat Islam terus berada di landasan yang benar seperti yang ditunjukkan Rasulullah S.A.W, maka benarlah dikatakan ulama bahawa pengertian jihad itu sendiri terlalu besar untuk ditakrifkan. Ana juga sedar bahawa kita terlalu jauh dari kesempurnaan yang dapat menjanjikan keselamatan kita dari azab ALLAH S.W.T di Alam Akhirat kelak. Keruntuhan akhlak dan hilangnya sensitiviti terhadap agama oleh Ummat Islam di negara ini sendiri terlalu menyedihkan. Tak perlulah ana untuk menyatakan dengan lebih detail lagi mengenai perkara ini kerana rasanya mereka yang membaca pasti sudah jelas dengan keadaan sekarang.

Ummat Islam lebih memandang ke arah barat untuk contoh dan teladan. Berapa ramai ibubapa yang ingin menamakan anak mereka dengan nama pejuang-pejuang Islam seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq atau Fatimah Az-Zahra? Mereka lebih berminat dengan nama-nama yang kononnya lebih "moden" seperti Joachim (anak seorang selebriti) dan Danish. Berapa ramai remaja yang mengenali pejuang-pejuang Islam seperti Nuruddin Zanki dan Salahuddin Al-Ayubi, mereka lebih didedahkan kepada lagenda-lagenda ciptaan musuh Islam seperti King Arthur dan Richard the Lion Heart atau mereka terlalu sibuk untuk mengikuti perkembangan Justin Timberlake dan mereka yang segolongan dengannya sedangkan tidak sedikit pun perhatian di berikan terhadap perkembangan bumi Palestin yang setiap hari dijajah dan diperhambakan Yahudi Laknatullah. Mungkin jika timbul sedikit rasa sensitif terhadap saudara seagama di tempat seperti Palestin, Lubnan dan Afrika maka remaja atau masyarakat Islam di sini akan lebih bersyukur dan tunduk pada kekuasaan ALLAH S.W.T.

Ana faham keadaan remaja kerana ana juga pernah berada di dalam kejahilan yang serupa suatu ketika dahulu dan ana sentiasa berdoa agar ALLAH S.W.T menetapkan hati ini dijalan yang diredhai-Nya, namun bukankah tanggungjawab kita sesama saudara Islam untuk sentiasa mengingatkan satu sama lain. Jangan sesekali salah faham dengan tujuan ana berkata sedemikian. Bukan untuk menunjuk-nunjuk perubahan diri, jauh sekali untuk merasa bangga tetapi sekadar terlintas di benak hati dan akal kurniaan ILLAHI ini bahawa maut dan kiamat itu pasti cuma tidak diketahui bila datangnya. Oleh itu jelaslah bahawa suatu hari nanti kita pasti akan bertemu dengan ALLAH S.W.T dan akan diperhitungkan segala amalan dan perlakuan kita semasa di dunia. Maka perubahan dan peringatan terhadap perkara-perkara yang menuju kearah kebaikan adalah sesuatu yang tidak boleh dilengahkan. Ia mesti dilakukan dengan segera.

Ana sedar bahawa ilmu didada ini terlalu tipis untuk ana berkata seperti ini, oleh itu ana mengharapkan teguran dan tunjuk ajar yang ikhlas serta teman untuk sama-sama berjuang di jalan ALLAH tanpa mengenepikan dan mengabaikan tanggungjawab-tanggungjawab lain seperti seorang anak, pelajar, pekerja, majikan, warganegara dan lain-lain. Namun priority mesti diletakkan ditempat yang sepatutnya. Tanggungjawab kepada ALLAH dan Rasul dan tanggungjawab terhadap ibubapa, rakan-rakan atau kerjaya mesti difahami mana yang lebih penting? Sebagai seorang Muslim yang bercita-cita terhadap keampunan, rahmat, keredhaan dan syurga ALLAH, mereka pasti mengetahui jawapan bagi persoalan tersebut.

Sedarlah bahawa tanggungjawab untuk memastikan pembangunan Ummah agar tidak tergelincir dari ketetapan akidah dan akhlak Islam adalah tanggungjawab bersama dan kemudian marilah kita bersatu dalam menyebarkan kebenaran Islam ini pada mereka yang masih lagi terkapai-kapai dek hasutan syaitan. Semoga kita juga mampu melihat perkembangan Islam dan kehadiran saudara-saudara baru seperti yang berlaku di dalam klip di atas. Marilah kita mencontohi usaha brother Khalid Yasin dan Ummat Islam Australia. Maafkan ana jika ada kesilapan dalam tulisan ini. Sesungguhnya ana adalah hamba ALLAH yang hina lagi daif dan tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Yang baik itu pastilah dari ALLAH S.W.T jua.

Wallahualam...

No comments: