Salam Ukhwah

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.

The Iqra sekadar medan peringatan buat yang terlupa..
Diwujudkan tidak untuk mendabik dada..
Bukan menghebah-hebahkan keadaan semasa..

Sekadar memenuhi tuntutan agama..
Untuk ingat-mengingati kasih-mengasihi sesama manusia..

Siapalah kita kalau bukan hamba-Nya yang hina..
Yang pasti kita ketemui disuatu masa..
Akan dipertanggungjawabkan segala amalan di dunia..

Tuesday, February 12, 2008

Valentine's Day? Hari Kekasih? Aqidah? Perlu Sambut?

UCAPAN seperti Happy Valentine’s Day, Will You Be My Valentine serta pemberian hadiah jambangan ros merah, belon berbentuk hati yang tertera I Love You, malah sehingga sanggup bertatu adalah antara sebahagian cara yang popular acap kali tibanya Hari Kekasih atau Valentine’s Day pada setiap 14 Februari.

Sebagai seorang Muslim, mungkin kita tertanya lagi, mengapa perayaan memperingati cinta itu dilarang? Apa salahnya kita bercinta, sedangkan Islam tidak melarang umatnya bercinta dan berkasih sayang antara satu sama lain

Menurut Pembantu Profesor, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Malaysia (UIAM), Gombak, Dr. Adibah Abdul Rahim, setiap bangsa mempunyai perayaan mereka tersendiri.

Perayaan-perayaan ini disambut berdasarkan sebab tertentu, sempena dan matlamat berbeza.

Perayaan dalam Islam adalah ibadat, ia telah ditentukan cara dan penghayatannya. Dalam sebuah hadis, Baginda bersabda: Setiap kaum ada perayaan. Bagi Islam juga ada hari-hari perayaannya, iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban. (riwayat Bukhari dan Muslim)

“Oleh itu, apabila kita hendak merayakan sesuatu, kita mestilah merayakan perayaan itu berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh ALLAH S.W.T. Jadi perayaan Hari Kekasih jelas merupakan acara yang jauh tersasar, bercanggah dan tiada kaitan dengan agama Islam,” katanya.

Pada dasarnya hari ini hanya berdasarkan kepada kepercayaan animisme (kepercayaan bahawa setiap benda ada semangat) yang bersumber daripada paganisme (kepercayaan karut) orang musyrik. Apatah lagi, Hari Kekasih ialah penghormatan kepada seorang paderi Kristian.

Terdapat beberapa pendapat mengenai sebabp-sebab penganut agama kristian menyambut hari tersebut,

Pendapat pertama

Valentine’s Day bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Pendapat kedua

Pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St.Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St.Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

Pendapat ketiga

Valentine’s Day diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St.Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St.Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St.Valentine sendiri.

Kalau melihat kepada sejarahnya, ia adalah satu budaya kotor, songsang dan mengandungi unsur-unsur negatif.

“Malah ia adalah budaya hidup Barat dengan bertopengkan kasih sayang dan percintaan. Malah tambah membimbangkan, ia boleh membawa kepada kerosakan akidah umat Islam,” tegas Adibah.

Tambah Adibah, apabila jelas perayaan ini bukan berasaskan Islam, maka Islam melarang umatnya mengikut kepercayaan yang berdasarkan taklid (mengikut sesuatu itu membuta-tuli tanpa mengetahui asal usul, latar belakang dan sejarah budaya itu).

Rasulullah S.A.W melarang umatnya daripada mengikut tatacara beribadat selain Islam. Contohnya, cara merayakan perayaan yang tidak bersumberkan Islam. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa meniru satu kaum maka ia termasuk dari kaum tersebut.” (Riwayat Tirmizi dan Imam Abu Daud)

Berdasarkan hadith tersebut Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, hukum murtad (terkeluar daripada Islam) boleh jatuh kepada mereka yakni Umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian.

Apabila ada unsur ritual agama lain dan kita pula sama-sama meraikannya, seakan-akan kita reda dengan perbuatan menyekutukan ALLAH S.W.T (syirik) sedangkan syirik adalah dosa yang tidak terampun.

Ini ditegaskan dalam mafhum-Nya, Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan akan mengampunkan (dosa) selain kesalahan (syirik) bagi sesiapa yang kehendaki-Nya... (al-Nisa’: 116).

Beliau mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya muda-mudi yang masih cenderung untuk meraikan Hari Memperingati Kekasih setiap kali muncul 14 Februari biarpun telah banyak penerangan disampaikan oleh para ulama.

Harussani turut menyeru umat Islam agar tidak sesekali meniru budaya asing dan ternyata bercanggah itu apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan.

"Mengapa kita perlu mengamalkannya sedangkan Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala."

"Bahkan jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara se-Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudahpun jatuh haram. Jadi amalan atau budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik,'' kata beliau.

Menurut Harussani, Islam turut menggalakkan umatnya mengasihi sesama mereka secara ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dengan tumpang bersyukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka.

Ini diperjelaskan lagi dalam kitab karangan Ibnu Taimiyah yang mengatakan, perayaan adalah satu kaedah utama yang membezakan adat dan undang-undang antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Jadi perayaan adalah amalan yang paling menonjol bagi sesuatu bangsa. Oleh itu, kalau kita bersetuju untuk merayakan perayaan mereka itu, bererti kita bersetuju ke arah perkara kemungkaran dan kekufuran.

Corak perayaan Hari Kekasih adalah simbol kepada cara hidup golongan bukan Islam. Secara tidak langsung mereka yang merayakannya, seolah-olah mengiyakan dan bersetuju perbuatan-perbuatan keji yang menjadi intipati perayaan tersebut.

“Golongan Muslim yang ikut serta tanpa ada inisiatif untuk menghentikannya juga adalah sebahagian daripada mereka,” kata Adibah.

Kata beliau lagi, hal ini turut ditanggung bagi mereka yang terlibat secara tidak langsung seperti berjual-beli dengan perkara-perkara berkaitannya, mengucapkan selamat, menghadiri program hiburan yang bersempena dengan hari itu. Ia seolah-olah kita turut sama mempromosikan hari tersebut, itu juga adalah perbuatan terlarang.

Firman ALLAH S.W.T bermaksud: ...Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksaan-Nya. (al-Ma’idah: 2)

Hakikatnya, umat Islam perlu sentiasa diingatkan bahawa jangan mudah terikut sesuatu benda tanpa mengetahui asal usulnya, sejarah dan latar belakang serta terima sewenang-wenangnya tanpa memeriksa unsur kebatilan dan kekufurannya.

Ini dijelaskan dalam surah al-Isra’ ayat 36 bermaksud: Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabnya.

Sebagai orang Islam, kita mesti berusaha memelihara diri dan iman dan jangan mudah terkesan dengan perang psikologi.

“Saya juga pelik dengan segelintir umat Islam yang masih lagi merayakan dan membanggakan hari tersebut,” jelas beliau.

Namun sikap terikut-ikut ini pernah dinyatakan malah Rasulullah S.A.W menegah kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dengan sabdanya yang bermaksud: “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.

Menjelaskan mengapa perayaan ini tidak boleh disambut oleh umat Islam kata Adibah, Hari Kekasih juga adalah satu bidaah saiiah iaitu bidaah yang tidak ada dasar hukumnya di dalam syariat Islam. Kedua, kita mestilah membezakan diri daripada orang kafir.

Menyambut hari kekasih ini umpamanya kita berperilaku orang kafir. Ia bukan sahaja satu budaya meniru tetapi tanda memberi sokongan. Hukumnya adalah seperti yang dipersetujui Datuk Harunsani di atas dan ia wajib dihindari.

Selain itu, percintaan yang dimaksudkan pada Hari Kekasih ini terlalu umum dan melampaui batas-batas kesederhanaan. Islam memang agama kasih sayang, tolong-menolong dan merangsang supaya bersatu hati, tetapi ia perlu berjalan di bawah payung iman dan takwa.

“Saya tidak melihat ia sebagai satu isu budaya sahaja tetapi ia berkaitan dengan masalah akidah. Apabila kita merayakan Hari Kekasih, ia secara tidak langsung membawa erti yang kita merayakan ritual agama lain. Oleh itu sekiranya kita mempertahankannya juga, ia seolah-oleh kita mempertahankan budaya Barat.

“Orang Melayu akan mula hilang jati diri mereka dan yang paling merbahaya ialah akidah dicemari dengan perbuatan yang bertentangan syarak. Malah mereka yang meraikan hari ini juga menunjukkan, sikap tidak sensitif mereka dengan isu agama,” kata Adibah selagi mana ia melibatkan akidah dan syiar Islam, alasan semangat toleransi, setiakawan atau menghormati orang lain tidak boleh diterima.

Mengakui sikap generasi muda yang mudah terikut-ikut dan taksub dengan budaya Barat, Hari Kekasih mendorong generasi muda ke arah keruntuhan akhlak. Perlakuan mereka itu jelas di luar batasan syariat.

Contohnya, berpesta, pergaulan bebas, minum arak sehingga mabuk malah hingga kepada zina atau menghampiri zina kerana hendak membuktikan cinta.

Menurut Adibah, tanpa disedari kita mendokong agama mereka yang pada hakikatnya terpesong daripada apa yang dipohonkan setiap kali bersolat.

“Tidak ada gunanya kita sering meminta daripada-Nya, sedangkan kita sendiri menempuh jalan sesat itu dengan sukarela,” kata Adibah dalam temu bual di pejabatnya, baru-baru ini.

“Barat suka mempromosikan hari-hari khas tertentu seperti Hari Ibu, Hari Bapa dan sebagainya kerana nilai-nilai dalam sistem kekeluargaan mereka sudah teruk.

Sedangkan di dalam Islam, menjadi kewajipan setiap individu untuk menghargai ibu bapa dan orang yang mereka kasihi. Hakikatnya konsep kasih sayang di dalam Islam adalah lebih komprehensif,” jelasnya.

Bercinta menurut perspektif Islam adalah tidak salah kerana ia adalah fitrah manusia. Memanglah diakui semua orang mahu dicintai dan mencintai tetapi persoalannya perasaan cinta itu perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan ALLAH S.W.T.

Ini kerana matlamat cinta ialah untuk menyelamat, mententeram dan membahagiakan manusia. Jadi meluahkan kasih sayang antara lelaki dan perempuan perlulah melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak seperti perkahwinan.

Kata Adibah, penularan sambutan Hari Kekasih adalah impak daripada globalisasi dan fahaman sekular.

Di dalam Islam ada tiga kategori cinta iaitu; Cinta kepada ALLAH dan Rasul, cinta kepada manusia dan cinta kepada harta duniawi. Cinta yang hakiki ialah cinta kepada ALLAH dan Rasul, manakala cinta kepada manusia dan harta duniawi adalah ujian ALLAH S.W.T untuk menentukan tingkat keimanan dan ketakwaan. Ia tidak kekal dan bergantung kepada keadaan.

Oleh itu, sebaik-baiknya sebagai seorang Muslim, tidak perlulah terikut-ikut dengan sambutan Hari Kekasih yang dibawa orang Kristian.

Di dalam Islam, kita dibenarkan mencintai sesiapa sahaja asalkan perasaan cinta itu dibina atas dasar cinta kerana ALLAH. Ini kerana ALLAH S.W.T yang mencipta insan yang kita sayangi dan kasihi. Oleh itu kecintaan kepada manusia sepatutnya menjadi satu wadah untuk mendapatkan keredaan ALLAH.

Bagaimana kita hendak mencintai seseorang kerana ALLAH?

Pertama kata Adibah, kita kena sentiasa mendahului kehendak ALLAH S.W.T sebelum kita penuhi kehendak individu yang kita cintai.

Kedua, cinta kepada manusia mestilah berlandaskan kepada syariat dan ajaran Islam. Jangan sampai terleka dan melakukan perbuatan yang dimurkai ALLAH. Contohnya membuktikan cinta sehingga sanggup melakukan zina.

Yang ketiga, keimanan kepada ALLAH S.W.T mendahului segala keinginan duniawi dan keempat, cinta suci seharusnya dilandaskan dengan akhlak dan keperibadian Islam. Ia bermaksud, cinta tidak boleh berlandaskan keinginan nafsu semata-mata.

Sedar atau tidak Umat Islam kini berhadapan dengan cabaran dan ujian yang semakin rencam. Biarpun penjajahan bentuk ketenteraan tidak lagi berlaku tetapi kita masih diserang kiri dan kanan setiap hari.

Ini terutamanya melalui pelbagai promosi oleh golongan kufar yang tidak senang terhadap orang Islam. Ini juga termasuk mengkomersialkan sambutan Hari Kekasih agar orang Islam turut sama merayakannya.

Sikap ingkar mereka dijelaskan menerusi firman ALLAH S.W.T, Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)... (al-Baqarah: 120)

Kini kita sering dibentangkan dengan slogan seakan-akan keagungan cinta sesama manusia itu melebihi daripada yang lain. Ia disajikan kepada kita hampir setiap hari menerusi media massa terutamanya menerusi televisyen seperti filem-filem hindustan dan sebagainya.

Kononnya dengan menyambut Hari Kekasih kita dapat memahami erti cinta yang sebenar, sedangkan hakikatnya kita makin jauh dari definisi cinta yang sejati yang sering dibentangkan dengan kisah-kisah iktibar seperti cintanya khalifah Abu Bakar kepada Rasulullah S.A.W yang melebihi daripada cinta kepada diri sendiri.

Demikian juga kerelaan Saidina Ali menggantikan Rasulullah S.A.W di tempat tidurnya dalam peristiwa hijrah Baginda bersama Abu Bakar. Pada logik akal, sudah tentu menjadi pengganti Rasulullah S.A.W itu bakal berhadapan maut tetapi kerana kasihkan Baginda, Saidina Ali sedia berkorban.

Pendek kata, kita tidak ada asuhan dalam konteks pembinaan akidah bagi merasai atau memberi kasih sayang dan cinta dalam erti kata mentaati Yang Maha Pencipta.

Malah, apa yang sering berlaku, apabila menonton filem hindustan ramai yang melewat-lewatkan solat dan mungkin juga ada yang terlepas solat dek asyik menonton. Lebih malang lagi, mungkin inilah sikap orang dewasa khususnya ibu bapa yang kemudiannya diteladani oleh anak-anak. Inikah cinta?

Dalam ayat 120 al-Baqarah ditegaskan tentang orang kafir itu tidak akan reda selagi kamu tidak mengikuti mereka. Namun, masih ada umat Islam yang terpengaruh dengan perbuatan golongan kafir antaranya menyambut Hari Kekasih. Kenapa ini masih berlaku?

Apabila fakta ini sudah dibentangkan maka remaja Islam khususnya boleh membaca dan memahami mengapa Islam melarang sambutan Hari Kekasih.

Ada yang mendakwa perbuatan menyambut Hari Kekasih ini hanyalah budaya dan suka-suka bukannya melibatkan akidah. Betulkah pendapat begini? Pendapat sebegini adalah berdasarkan nafsu semata-mata. Lazimnya, orang bercinta atau sedang angau akan ketepikan fikiran yang waras.

Tetapi kalau kebetulan kita membeli hadiah untuk isteri atau suami tanpa niat sambut Hari Kekasih itu tidak salah. Yang penting jangan ada niat walau sedikitpun untuk meraikan hari tersebut.

Kalau ada sedikit niat untuk sama-sama meraikannya, maka hendaklah cepat-cepat kita sedar dan beristighfar. Sebabnya, perkara ini walaupun nampak enteng tetapi menjejaskan akidah.

Jangan kita diperdayakan oleh syaitan yang telah bersumpah memperelokkan maksiat kepada kita dalam usaha menyesatkan umat Islam. Ini ditegaskan oleh ALLAH dalam surah al-Hijr ayat 39.

Pendek kata, umat Islam tidak boleh mencampur-adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Pamerkanlah kasih sayang kita. Tunjukkan melalui tutur kata dan tindakan yang baik. Tunaikan segala tanggungjawab yang dianjurkan oleh syarak kepada sekalian umat manusia. Lebih daripada itu, tidak salah mempamerkannya sekali-sekala melalui pemberian hadiah atau ucapan cinta.

Persoalannya sekarang, mengapa perlu luahkan cinta pada 14 Februari, sedangkan kita ada 365 hari dalam setahun? Jelas Adibah, ini kerana mereka tidak faham sejarah hari tersebut. Di sinilah peranan ibu bapa, ahli akademik, pendidik, media massa untuk memberi penjelasan terutamanya pada peringkat awal.

ALLAH Yang Maha Pencipta tetap mengasihi hamba-Nya tanpa perlu sebab atau balasan. Malah ALLAH tetap melimpahi nikmat walau dibalas dengan kemungkaran. Di sinilah beza kasih kita berbanding sifat Maha Pengasih Pencipta.

Firman ALLAH dalam Surah Al-Kafirun :

[1] Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! [2] "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. [3] "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. [4] "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. [5] "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. [6] "Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".

Wallahualam...

P/s : Artikel gabungan sumbangan www.badruzamani.org, www.utusan.com.my & Saudari Zuraida Mohyin. Jazakallah hu khairan kathira.

Berjuang mempertahankan Aqidah!!!

No comments: