Salam Ukhwah

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.

The Iqra sekadar medan peringatan buat yang terlupa..
Diwujudkan tidak untuk mendabik dada..
Bukan menghebah-hebahkan keadaan semasa..

Sekadar memenuhi tuntutan agama..
Untuk ingat-mengingati kasih-mengasihi sesama manusia..

Siapalah kita kalau bukan hamba-Nya yang hina..
Yang pasti kita ketemui disuatu masa..
Akan dipertanggungjawabkan segala amalan di dunia..

Thursday, February 21, 2008

Pulangkan Amanah Kepada Ahlinya

February 18th, 2008 | by Abu Saif | 2,615 Views | Print This Post Print This Post | Email this post Email this post |

key.jpg

“Tak tahan… harga barang macam sudah tidak terkawal”, keluh seorang orang biasa di celah hiruk pikuk kehidupan di Kuala Lumpur.

“Kalau tol PLUS tu, boleh kira lagi sebab aku guna pun ada dalam sebulan sekali. Ini tol highway keliling rumah pun naik melampau-lampau. Hari-hari kena rompak!”, keluh seorang warga Selangor yang bekerja di Kuala Lumpur.

Keluhan sebegitu bukan lagi perkara asing.

Ia bagai zikir di butir tasbih, setiap hari itulah keluhan kebanyakan kita. Saya juga mengeluh sama.

Harga susu, harga barang mentah, harga minyak petrol dan segala-galanya, sungguh menekan. Malangnya keperitan ini tidak dikongsi bersama oleh pemimpin-pemimpin. Kesesakan jalan raya juga tidak mereka fahami kerana rakyat sentiasa dipaksa memberi laluan tatkala mereka melintas. Apa yang mereka tahu tentang derita ini?

Lantas isu kebajikan rakyat menjadi subjek utama pilihanraya kali ini.

PENINGKATAN

Biar pun tawaran pembangkang itu ada banyak dimensi yang diperdebatkan, namun saya tetap melihatnya sebagai suatu perkembangan yang baik. Perbahasan tidak lagi pada soal-soal ideologi yang sukar digarap rakyat. Sebaliknya, persoalan yang diketengahkan ialah bagaimana ideologi dan pegangan politik masing-masing boleh berfungsi untuk memperbaiki kehidupan rakyat.

Bagi PAS yang membawa ideologi politik Islam, apa yang diketengahkan ialah bagaimanakah Islam yang diperjuangkan itu berpotensi dan mampu mengubah kehidupan rakyat. Maka perbahasan yang seperti ini, lebih mudah untuk dinilai oleh masyarakat. Pendekatan PAS dan BA semakin menyerlahkan tumpuan mereka kepada substance dan bukan slogan yang sulit difahami oleh mereka yang bukan ahlinya.

‘IBRAH LEMBARAN OTHMANIYYAH

Kejayaan Sultan Muhammad al-Fatih mendapatkan Constantinople pada tahun 1453 juga harus dicontohi.

Sultan Muhammad al-Fatih bukan hanya membawa Islam sebagai suatu kepercayaan untuk dikenakan ke atas penduduk Constantinople. Tidak sekali-kali. Bahkan Constantinople yang kemudiannya diubah namanya kepada ISLAM BOL, itu benar-benar dapat melihat Islam sebagai suatu rahmat kerana kejayaan Sultan Muhammad al-Fatih, telah mengubah kualiti hidup penduduk di kota terbesar di dunia ketika itu.

Pelbagai kemudahan infrastruktur dibangunkan. Sistem ekonomi dibaik pulih, malah Constantinople jauh lebih makmur selepas dikenali sebagai Bandaraya Islam (ISLAM BOL). Islam yang dibawa oleh Sultan Muhammad al-Fatih, adalah Islam yang berjaya memperbaiki hidup mereka yang duduk di bawahnya.

Namun seperkara yang menarik perhatian saya, adalah tindakan Sultan Muhammad al-Fatih melantik kembali paderi-paderi Orthdoks sebagai pemimpin masyarakat Kristian di Constantinople. Maharaja Constantinople di ambang kejatuhannya, secara terburu-buru memaksa pertukaran mazhab Constantinople kepada Katholik di bawah kuasa Pope di Rome, demi untuk mendapatkan bantuan sekutunya di Eropah. Tindakan beliau telah menimbulkan kemarahan penduduk Constantinople…

“Kami lebih sanggup melihat serban Turki daripada topi Latin di kota ini!”, kata mereka.

osmanli.jpg

Semasa Sultan Muhammad al-Fatih masuk ke kota itu sejurus kemenangannya dan tentera yang hebat itu, paderi-paderi ini tunduk ke tanah kerana bimbang diapa-apakan oleh baginda. Namun Sultan Muhammad al-Fatih telah memulihkan kembali maruah mereka sebagai pemimpin komuniti Kristian Orthodoks di Constantinople, lantas tahulah penduduk di situ bahawa kemenangan Sultan Muhammad al-Fatih bukanlah suatu bencana, malah rahmat yang mencurah atas kehidupan mereka. Penduduk Kristian di Constantinople tidak pernah dipaksa menukar agama, malah mereka lebih tenteram mengamalkan tuntutan agama masing-masing di bawah semangat pemerintahan yang berteraskan nilai Islam.

PRINSIP ISLAM

Mengembalikan hak dan maruah orang-orang yang berkedudukan di dalam masyarakat, adalah satu sudut penting di dalam keadilan Islam. Malah inilah yang jarang sekali dilakukan oleh golongan yang tidak berpegang dengan prinsip Islam, hingga Permaisuri Saba’ sendiri memberikan komen tentang kedatangan Nabi Sulaiman ‘alayhi al-Salaam ke kerajaannya dengan katanya yang dirakam oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

annaml-34.jpg

Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan (An-Naml : 34)

Tetapi seperti Sulaiman alayhi al-Salam, Sultan Muhammad al-Fatih juga tidak pernah menghina paderi itu malah mereka diangkat kembali menjadi pemimpin komuniti masing-masing. Bukan sahaja paderi, malah golongan yang lain juga dipulihkan fungsi dan peranan mereka. Para saintis juga dibebaskan dari tahanan dan kemahiran mereka digunakan untuk manfaat seluruh rakyat.

Semangat itu terbit dari didikan Nabi SAW sendiri yang telah terdahulu melakukan perkara yang sama. Tatkala pembukaan kota Mekah pada 8H, baginda SAW dan tentera Islam masuk dengan penuh aman, tanpa dendam, biar pun darah syuhada’ seperti Sumayyah dan mereka yang menyusulinya pernah tumpah di situ.

Biar pun Banu Shaibah belum memeluk Islam, Baginda SAW telah memerintahkan supaya kunci Kaabah diserahkan kembali kepada mereka sebagai pemegang amanah turun temurun. Firman Allah SWT:

annisaa-58.jpg

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat” (An-Nisaa’ : 58)

Itulah juga semangat yang sama ketika tawanan perang dimanfaatkan untuk mengajar anak-anak Muslim. Prinsip yang sama juga diserlahkan oleh Umar tatkala masuk ke kota Baitul Maqdis.

014.jpg

Jika Islam sebenar yang menjadi pegangan perjuangan, inilah tradisinya. Mengembalikan amanah kepada ahlinya, memanfaatkan kepakaran, dan tidak mengorbankan segala-galanya semata-mata desakan dendam yang tidak berasas.

BUKAN HANYA MARHAEN YANG KECEWA

Inilah satu aspek penting yang harus digembeleng.

Mereka harus benar-benar mengenalpasti bahawa bukan sahaja rakyat kebanyakan yang kecewa dengan kehidupan yang ada kebelakangan ini, malah kekecewaan itu lebih mendalam dan kritikal di kalangan golongan pakar.

Golongan pakar ini mungkin pensyarah universiti, sebahagian mereka adalah golongan profesional di bidang masing-masing dan mereka adalah sebahagian daripada kumpulan yang kecewa. Biar pun mereka itu hanya mewakili kuantiti yang kecil di dalam masyarakat kita, namun mereka adalah golongan pakar yang berpengaruh.

Masakan tidak kecewa…

Pelbagai polisi dan keputusan adhoc yang diputuskan sering membelakangkan pandangan golongan pakar. Segala-galanya dipertimbangkan atas motif kepentingan politik kepartian.

Lihat sahaja kepada isu BAHASA, sejauh manakah kepedulian kerajaan yang ada terhadap pandangan ahli bahasa kita? Isu pengajaran subjek Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris, apakah pandangan pakar bahasa dan pakar pendidikan dipeduli?

Bagaimana nasib pengajaran SASTERA kepada pelajar? Apakah pandangan para sasterawan negara diambil kira sebelum rombakan terhadap teks silibus dilakukan?

Renungkan kepada polisi KESIHATAN, sejauh manakah kepedulian pembuat polisi terhadap pandangan pengamal perubatan sendiri, sebelum apa-apa rombakan ingin dilakukan ke atas sistem yang menggerakkan perkhidmatan kesihatan di negara kita?

Bukan sahaja soal BAHASA dan KESIHATAN, malah SUKAN negara juga dicemar oleh campur tangan ahli politik.

Mereka yang ahli di dalam bidang masing-masing sering diketepikan, malah bagi mereka yang berjawatan di dalam perkhidmatan awam, dirantai pula kepakaran dan daya intelektual mereka dengan pelbagai sekatan, perjanjian AKU JANJI dan universiti sering diperkudakan untuk memenuhi agenda politik semata.

Semua ini membawa kepada kemandulan negara.

Universiti hilang fungsinya sebagai institusi pendidikan yang inovatif.

Sukan, terutamanya bola sepak… menjadi sampah dan secara konsisten memalukan negara di peringkat serantau dan antarabangsa…

Pendidikan menjadi caca merba dan mencaca merbakan proses pembentukan manusia Malaysia.

Segala-galanya menjadi tidak tentu hala, kerana golongan pakar dikesampingkan, atas nama agenda politik. Semuanya politik!

Saya ingin sekali menyaksikan keupayaan Barisan Alternatif mendapatkan keyakinan dan sokongan golongan pakar ini, bahawa jika mereka diberi peluang memerintah, mereka akan memanfaatkan tenaga pakar di semua bidang,. Mereka akan membina polisi ekonomi dengan sumbangan pemikiran pakar ekonomi. Mereka akan membangunkan sistem pendidikan dengan merujuk nasihat pakar pendidikan, dan pensyarah-pensyarah universiti akan diberi kepercayaan penuh untuk memfokuskan segala kepakaran, tenaga dan usaha mereka kepada menghasilkan manusia KELAS SATU, tanpa perlu diganggu dengan anasir-anasir politik kepartian sempit yang sanggup mengorbankan apa sahaja demi survival mereka.

amanah.jpg

“Apabila sesuatu urusan itu diserahkan bukan kepada ahlinya, maka nantikanlah kehancuran” - Hadith riwayat al-Bukhari

Barisan Alternatif harus meyakinkan semua bahawa mereka akan mengembalikan amanah kepada ahlinya!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

No comments: