DEB - Jangan salahkan kaum Cina, salahnya Melayu Umno Mohd Rashidi Hassan Wed | Mar 12, 08 | 03:44:30 PM | |
Jangan lupa bahawa Umno yang banyak mengkritik Parti Gerakan dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kerana menjalankan dasar yang mendiskriminasikan orang-orang Melayu. Akhbar Utusan Malaysia adalah antara media propaganda Barisan Nasional yang menyiarkan kenyataan beberapa Ketua Umno Bahagian di Pulau Pinang, yang secara lantang mengkritik Tsu Koon sehingga memeningkan kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Hakikatnya semakin jelas kelihatan sejak berpuluh tahun kerajaan negeri diterajui Gerakan dari kelompok kaum Cina, Melayu Pulau Pinang semakin terhakis, mereka hanya menguasai dan memiliki aset di Seberang Prai, manakala di bahagian pulau, hanya tinggal di sekitar Balik Pulau. Lain-lain tempat, Jelutong, Bayan Lepas, Georgetown, Melayu sudah semakin terpinggir dan semakin pupus. Hanya yang ada saki baki Melayu tinggal di kawasan flat. Rumah kampung sudah tiada, pangsapuri mewah pun tiada, kawasan elit pun Melayu hampir tiada. Jika ada pun Melayu dari kalangan Umno. Penulis tidak pernah berhasrat untuk membangkitkan soal kaum. Siapa yang menjadi Ketua Menteri, siapa yang memerintah atau sebagainya. Penulis sekadar mengharapkan rakyat berfikir, mengapa media dan Umno begitu jahat memfitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri, Lim Guan Eng dari DAP? Apakah paparan bahawa kononnya kaum Cina dari DAP akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Pinang boleh diterjemahkan sebagai semasa Cina Gerakan, DEB terlaksana dengan baik? Jahatkah Cina DAP terlalu baikkah Cina Gerakan atau MCA pada pandangan Utusan? Media tidak harus cuba mengelirukan rakyat, kerana, mereka harus tanya kepada pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang, apakah mereka begitu puashati dengan Gerakan selama ini? Jangan cetuskan api perkauman Paparan seburuk ini, dibuat dengan nada yang begitu jahat, boleh mencetuskan ketidakstabilan hubungan kaum dalam negara. Utusan jelas 'bermain dengan api', meniupkan api perkauman yang boleh menjejaskan ketidakstabilan politik dalam negara. Apa yang disebutkan Lim Guan Eng sebagai DEB menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisyen sebenarnya memang betul. Tan Sri Khalid Ibrahim ketika ditemuramah penulis dua tahun lepas (sebelum menganggotai KeADILan), tidak mempertikaikan DEB, yang dipertikaikan soalan perlaksanaannya. Soal delivery dan ketelusan yang dibangkitkan. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menegaskan bahawa Islam tidak menerima sebarang tindakan yang boleh disifatkan sebagai diskriminasi kepada mana-mana kaum. Namun, PAS menerima beberapa keutamaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan terhadap orang-orang Melayu. Apa yang PAS pertikaikan ialah soal amalan korupsi, kronisme dan nepotisme yang dilaksanakan oleh BN. Hakikatnya PAS mempertikaikan DEB kerana ia digunakan sebagai alat politik untuk kepentingan segelintir puak yang dikenali sebagai Umnoputra bukan untuk bumiputra. Di mana ukuran Umno/BN berjuang untuk Melayu? Siapa yang merobohkan surau kegunaan untuk orang Islam, jika tidak dengan arahan Menteri Besar berketurunan Melayu dari Umno? Siapa yang meroboh setinggan-setinggan Melayu seperti di Kampung Berembang atas alasan tujuan untuk pembangunan? Siapa yang 'mengalibabakan' projek kerajaan yang diterima atas nama kontraktor Melayu Umno dan kemudiannya di sub-kon kan kepada kontraktor Cina? Siapa yang menghapuskan pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, untuk digantikan dengan bahasa Inggeris? Siapa yang menghapuskan bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat, yang rata-ratanya diwujudkan untuk pendidikan anak-anak Melayu/ Islam? Siapa yang menindas dan menafikan hak ekonomi serta geran perkapita kepada kerajaan pimpinan orang Melayu di Kelantan dan Terengganu sewaktu PAS memerintah? Sebenarnya bukan PAS, KeADILan atau DAP yang menolak DEB, hakikatnya pemimpin Umno sendiri yang mengkhianati DEB! Justeru, pemimpin Umno tidak harus mendabik dada bahawa mereka adalah pejuang Melayu tulen, walhal sebenarnya merekalah yang menindas orang-orang Melayu. Jika Umno dan BN melaksanakan dasar-dasar negara dengan betul, sudah tentu orang-orang Melayu tidak akan menolak mereka. Pilihan Raya Umum ke 12 menunjukkan orang-orang Melayu sudah menolak Umno/BN. Jangan salahkan rakyat, sikap pemimpin Umno sendiri yang menyebabkan penolakan besar-besaran berlaku. Fikir dan renungkan. Rombak Umno, suruh Abdullah berundur, jika tidak masa depan Umno akan gelap dan tidak mustahil Umno akan tersimpan dalam muzium, menjadi bahan sejarah. Artikel dr http://www.harakahdaily.netP/s : The Iqra tidak mengatakan setiap apa yg dilafazkan dr mulut atau tulisan sesorang anak Adam itu adalah semata-mata benar dan boleh diterima semuanya.. Justeru itu ana mengajak rakan-rakan utk sama-sama berfikir terhadap artikel di atas dan beberapa perkara:
Sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda, ertinya: Apabila datang dua orang yang bertengkar (yang inginkan perbicaraan) di hadapanmu maka janganlah kamu (hakim) memutuskan keputusan bagi yang pertama sehinggalah kamu mendengar penjelasan dari pihak lain sebagaimana yang engkau dengari dari pihak yang pertama, kerana ia lebih tepat dan baik untuk memandumu dalam menetapkan hukum (atau keputusan)" ( Riwayat Abu Daud, no 3582, 3/301 ; Al-Hakim, Shohih ; Al-Ahkam As-Sultaniyah, 1/75 : Al-Ahadith Al-Mukhtarah, 2/388 ; hadith hasan menurt Imam Ibn Hajar ; Fath Al-Bari, 13/171 ) Barangsiapa yang Allah berikan hidayah kepadanya maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang Allah sesatkan maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberikan hidayah kepadanya.. Wallahualam.. | |
Salam Ukhwah
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.”
The Iqra sekadar medan peringatan buat yang terlupa..
Diwujudkan tidak untuk mendabik dada..
Bukan menghebah-hebahkan keadaan semasa..
Sekadar memenuhi tuntutan agama..
Untuk ingat-mengingati kasih-mengasihi sesama manusia..
Siapalah kita kalau bukan hamba-Nya yang hina..
Yang pasti kita ketemui disuatu masa..
Akan dipertanggungjawabkan segala amalan di dunia..
Wednesday, March 12, 2008
DEB Dimana Silapnya?
Tuesday, March 11, 2008
Panik.. Melatah.. Menilai Tetapi Bukan Pada Ilmu Hanya Dengan Hasutan Sentimen & Syaitan
Sebelum pilihanraya berlangsung, kita menolak media perdana.
Kita muak dengan hidangan melampau RTM dan Media Prima yang amat berlebih-lebihan dalam mempromosikan Barisan Nasional. Bukan sahaja menyalahi etika kewartawanan, malah tidak cerdik dalam konteks komunikasi. Malah terlebih utamanya melanggar agama dengan berita-berita yang diputar belitkan sesuka hati.
“Hairan saya. Langsung tidak kedengaran suara selain Barisan Nasional di dalam televisyen dan radio”, keluh kawan saya dari Nigeria.
Tiada negara seperti Malaysia. Kecuali negara-negara yang pemerintahnya digelar regim oleh bahasa media sendiri.
Tetapi mengapa selepas pilihanraya selesai, kita jadi peduli dan resah dengan permainan media perdana?
Setelah kejayaan Barisan Rakyat dicapai dengan peranan media alternatif, mengapa kejayaan itu mahu dimusnahkan dengan permainan media perdana?
PAS mahu melaksanakan hudud di Kedah? Ia propaganda Bernama.
Satu demi satu Tadika KEMAS dan Tadika Perpaduan terbakar. Ia propaganda Media Prima terutamanya TV3.
PAS Kedah mahu menutup Tadika KEMAS. Itu permainan Berita Harian. Juga di bawah Media Prima.
Kini, proses memilih Menteri Besar untuk Perak Darul Ridzuan berada di bawah suluhan lampu semua. Pelbagai keresahan cuba ditimbulkan hingga isu-isu perkauman yang sensitif ditiupkan secara halus untuk menambahkan resah orang ramai.
Lampu suluh itu tidak pula beriya-iya mahu mengenengahkan masalah Perlis yang juga berkrisis sesama Barisan Nasional dalam meluluskan Shahidan Kasim sebagai Menteri Besar mereka.
Mengapa kita harus peduli kepada permainan mereka? Biar pun Angkasapuri, bangunan Bernama dan Media Prima kini duduk di bawah kawasan Barisan Rakyat, ia masih media yang sama. Bercakap dengan nada yang sama. Malah bahasa angkuh golongan kalah, adalah jauh lebih merbahaya berbanding dengan bahasa angkuh golongan yang berkuasa.
Media alternatif harus terus berperanan, kerana kita berdepan dengan peperangan maklumat. Peperangan antara Barisan Rakyat dengan golongan al-Mala’.
SIAPAKAH AL-MALA’ ITU
Al-Quran mengistilahkan kaum yang berkuasa dengan nama al-Mala’!
Al-Mala’ itu adalah gelaran al-Quran yang terpakai kepada golongan raja, ahli politik, ahli perniagaan, artis, atau sesiapa sahaja yang berkuasa di dalam mana-mana masyarakat pada bila-bila masa.
Nuh berdepan dengan al-Mala’.
Hud berdepan dengan al-Mala’.
Perkataan al-Mala’ itu terbit dari kalimah ma-la-aa yang memberi maksud menuang penuh atau mengisi. Seperti perbuatan mengisi gelas dengan air.
Golongan berpengaruh digelar al-Mala’ kerana mereka berkongsi kelakuan yang sama. Dengan kuasa dan pengaruh yang ada, mereka mengisi kepala, mata, telinga dan seluruh pancaindera rakyat jelata dengan propaganda.
Saya mempersoalkan jati diri wartawan media perdana kerana sanggup mempertaruhkan kepentingan rakyat, semata-mata mahu memuaskan agenda propaganda golongan al-Mala’ ini. Mereka seakan tidak peduli kepada harga kesan kejahatan mulut mereka kepada negara.
“Seorang Muslim yang sebenar itu, adalah seorang yang kaum Muslimin lain terselamat dari kejahatan lisan dan tangannya” [Hadith riwayat Muslim]
JANGAN BERHENTI MENULIS
Para bloggers harus ingat bahawa peranan mereka lebih kritikal selepas berakhirnya pilihanraya. Mereka perlu berperanan merasionalkan fikiran rakyat dengan analisa yang mampu menjernihkan kefahaman rakyat di hadapan propaganda golongan al-Mala’ menerusi media perdana.
Jangan berhenti menulis dan jangan tumpulkan analisa dengan berasa selesa terhadap kemenangan yang berada di depan mata. Ia hanya permulaan kepada perjuangan yang lebih mencabar. Ini masa bekerja.
PENYEBARAN MAKLUMAT SECARA EFEKTIF
Bloggers pula memerlukan maklumat yang segar, telus, pantas dan efektif bagi membolehkan mereka membuat analisa.
Oleh yang demikian, PAS, PKR dan DAP mestilah efektif dalam melaporkan perkembangan terkini aktiviti mereka. Kita tidak memerlukan terlalu banyak cerita tentang drama-drama Barisan Nasional menyesuaikan diri mereka dengan kekalahan itu. Tetapi apa yang kita perlukan adalah maklumat perkembangan semasa kerajaan-kerajaan baru yang dibentuk di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kerajaan Alternatif juga harus pantas memberikan reaksi kepada isu-isu yang berlegar. Jangan biarkan khabar angin bertebaran terlalu lama. Perkara dusta yang diulang berkali-kali boleh akhirnya menjadi bahan percaya.
Dalam ertikata yang lain, setiap Parti harus mempunyai jentera media yang bekerja sepenuh masa untuk menyiarkan berita terkini berhubung dengan perkembangan parti-parti komponen Barisan Rakyat kerana manusia hari ini, ‘agama’ mereka ditentukan oleh media.
Jangan berhenti ngeblog!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur